Connect with:




Pendatang baharu Liga Super, MIFA kini telah dijenamakan semula menjadi Petaling Jaya City Football Club (PJ City FC) selepas pengurusan pasukan tersebut diambil oleh kumpulan QI yang juga rakan penaja dan usaha untuk Manchester City menerusi produk perniagaan mereka, Qnet.

Musim lalu, MIFA menamatkan Liga Premier di tempat ketiga namun tetap dibawa naik ke Liga Super selepas pasukan Felcra FC menarik diri dari Liga Malaysia. Kini MIFA hanya akan bertindak selaku kelab sokongan buat PJ City khusus untuk program pembangunan.

“Kami akan tetap bekerja bersama-sama dengan MIFA untuk mencari bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan pada masa hadapan” jelas pengerusi kumpulan QI, Datuk Seri Vijay Eswaran.

Setakat ini, status sama ada PJ City FC merupakan salah satu pasukan di bawah City Football Group (CFG) seperti kelab NY City, Melbourne City, Girona dan Yokohoma Marinos masih belum diketahui namun dengan status kumpulan QI selaku antara rakan usaha utama Manchester City, ia menandakan Pj City FC mungkin akan menjadi pelaburan terbaharu CFG pada masa hadapan.

Mengulas mengenai sasaran yang ditetapkan ke atas PJ City, Vijay memberitahu kelompok 5 pasukan terbaik liga adalah sasaran realistik yang diberikan kepada pengendali pasukan, K.Devan.

PJ City yang menggunakan Stadium MBPJ sebagai gelanggang rasmi pasukan dibarisi beberapa nama berpengalaman seperti bekas pemain kebangsaan, S.Subramaniam selaku ketua pasukan, Thamil Arasu pemain import dari Korea Selatan, Bae Beon Geun dan Elizue Batista dari Brazil.