Connect with:




Perlawanan Persahabatan Antarabangsa skuad ragbi kebangsaan bertemu Sri Lanka merupakan persediaan latihan terbaik sebelum bersaing dalam Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 2019 bermula 18 Mei hingga 29 Jun nanti.

Ketua pasukan Ragbi 15 sebelah kebangsaan, K Dineshvaran menegaskan bahawa pasukan Sri Lanka adalah merupakan pasukan yang kuat dan rakan sepasukan tidak boleh memandang rendah sebaliknya fokus terhadap perlawanan menentang Sri Lanka 4 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) jam 8 malam.

Foto: Malaysia Rugby

K Nineshvaran yang mesra digelar Dugro oleh rakan sepasukannya menyifatkan perlawanan menentang Sri Lanka itu bukan sekadar perlawanan antarabangsa kerana Sri Lanka kini berada di kedudukan ranking ke-43 dan lebih baik berbanding Malaysia yang berada di kedudukan ke-48 dunia dan sudah pasti mereka akan memberikan saingan yang sengit.

“Saya mengharapkan skuad negara lebih fokus dan tidak mengambil mudah terhadap Sri Lanka walaupun kita beberapa kali pernah menang dengan pasukan itu dan kali terakhir pada 2017. Malah saya sendiri tidak sabar untuk menentang Sri Lanka,” katanya dalam laporan Metro.

Tambah Dugro lagi, pasukan kebangsaan kini berada dalam keadaan terbaik hasil latihan rapi serta persediaan sebelum bersaing dalam ARC nanti.

“Saya rasa ini kali pertama pasukan kebangsaan membuat persediaan yang begitu rapi dan setiap hari permainan kami semakin meningkat dan lebih fokus hasil latihan yang diberikan oleh jurulatih, Brad Mika yang juga bekas pemain All Blacks. Malah bermain di SNBJ ibarat mimpi jadi kenyataan bagi saya kerana ini kali pertama kami bermain disini,” katanya.

Dugro yang juga bekas pemain kelab Yamaha Jubilo di Liga Ragbi Profesional Jepun kini telah berjaya menandatangi kontrak selama tiga tahun bersama kelab Hino Red Dolphins.

Foto: ARC 2019

Skuad Malaysia bakal bertemu Hong Kong dan Korea Selatan dalam ARC 2019 secara timbal balik. Perlawanan pertama menyaksikan Malaysia bakal ke Stadium Namdong Asiad, Incheon untuk bertemu Korea Selatan pada 18 Mei ini.

Manakala SNBJ bakal menjadi gelanggang bagi skuad Malaysia bagi aksi timbal balik menentang Korea Selatan pada 25 Mei dan Hong Kong 22 Jun nanti. Manakala satu lagi perlawanan menentang Hong Kong akan dilansungkan di Stadium Kelab Bola Sepak Hong Kong pada 15 Jun nanti.

Foto: Malaysia Rugby Union