Connect with:




Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali, percaya sekurang-kurangnya dua tawaran sedang menanti pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Ketika dihubungi Bernama, Razlan berkata beliau telah berjumpa pelumba itu semalam selepas berita mengenai pasukan Red Bull KTM Tech 3 mengumumkan kontrak baharu dengan pelumba dari Afrika Selatan, Brad Binder.

“Memang kontrak Hafizh dengan Tech3 berakhir sehingga musim ini tetapi sudah ada tawaran menanti Hafizh, cuma dia perlukan masa untuk buat pilihan,” katanya yang juga Prinsipal Pasukan MotoGP negara, Petronas Yamaha SRT.

“Kalau dilihat, dalam MotoGP tidak banyak tempat. Peluang dia agak sukar. Pasukan Petronas Yamaha SRT sendiri pun sudah tiada tempat, kami sudah ikat kontrak dengan pelumba sehingga tahun 2020.”

Spekulasi mengenai pasukan itu yang tidak akan mengikat kontrak dengan pelumba negara timbul apabila Hafizh masih tidak ditawarkan kontrak baharu oleh KTM berbanding rakan sepasukannya dari Portugal, Miguel Oliveira, yang disahkan bakal menyertai grid kelas MotoGP bersama pasukan Tech3 bagi musim 2020.

Ia susulan prestasinya yang dilihat tidak konsisten musim ini berbanding penampilan pertamanya musim lalu.

Selepas sembilan pusingan musim ini, pelumba berusia 25 tahun itu hanya mengutip tiga mata dengan meraih penamat ke-14 dalam GP Perancis, Mei lalu dan ke-15 di Litar Assen bulan lalu.

Pertukaran jentera kepada KTM turut memainkan peranan dalam kemerosotan prestasi Hafizh musim ini, yang menyaksikan dia dan pasukan masih dalam proses ‘mengenali’ jentera KTM RC16 selepas 20 tahun bersama Yamaha.

Sementara itu, Razlan berkata pihak SIC sedia membantu Hafizh jika pelumba negara itu mahu meneruskan karier dalam arena permotoran, sama ada dalam saingan MotoGP ataupun Moto2.

“Saya mahu peminat sukan permotoran sabar dan tunggu keputusan daripada Hafizh. Beri masa kepada dia. Lagipun sekarang tempoh bercuti, memang ramai pelumba akan bertukar sana-sini (pasukan),” tambahnya ketika diminta mengulas mengenai status Hafizh dalam arena permotoran.

“Sekiranya Hafizh perlukan pertolongan daripada SIC, kami akan bantu dia untuk kekal dalam saingan MotoGP ataupun turun ke Moto2.” – BERNAMA