Dua tonggak pertahanan PKNS FC, Zac Anderson dan Qayyum Marjoni Sabil difahamkan sudah sembuh daripada kecederaan sekaligus membolehkan mereka turun padang dalam aksi separuh akhir Piala FA.

Dalam pada itu, perkara ini pasti menjadi perkhabaran gembira buat skuad Semut Merah leibh-lebih lagi pengendalinya, Datuk K Rajagobal menjelang aksi Liga Super berdepan PKNP FC di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

Sebelum ini, kecederaan lutut yang dibelenggu Anderson dan Qayyum memaksa mereka untuk tidak tersenarai dalam pasukannya yang mara dengan kelebihan agregat 4-3 pada suku akhir kedua Piala FA bertembung Perak.

Berita Harian melaporkan bahawa Datuk Rajagobal mengakui peranan Anderson dinanti-nantikan bagi memperkuatkan lagi bahagian pertahanan.

“Anderson mampu membimbing pemain lain selain dapat memperkuatkan benteng pertahanan.

“Tetapi, pemain pertahan yang lain juga harus dipuji seperti Azmizi Azmi dan Rodeney Celvin yang mempamerkan aksi cemerlang sepanjang ketiadaan Anderson,” katanya.

Sementara itu, PKNS sedang berada di tangga kelima liga dengan 10 mata, lima mata di belakang pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT) mensasarkan untuk merangkul sekurang-kurangnya satu piala pada musim ini.

Anderson bagaimanapun lebih bersedia dan lebih bersemangat selepas pulih dan terlepas dari beberapa perlawanan sebelum ini.

Dia juga bertekad mahu mempamerkan rentak cemerlang sekaligus kembali bersama pasukan bagi membantu mereka meraih kemenangan nanti.

Foto Kredit: The PKNS FC