Dua pemain golf remaja bakal merasai kehangatan bersaing bersama-sama pemain profesional pada edisi ke-52 Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank (MMO) 2013 yang akan berlangsung pada 21 hingga 24 Mac depan.

Ong Shi Qing, 15, dan Mohd Zairiq Encho Suhaimi, 16, masing-masing dengan handicap 10 dan enam, akan diberi peluang beraksi bersama-sama pemain profesional yang bertanding pada MMO tahun depan, dalam perlawanan Pro-Am.

“Mereka dipilih berdasarkan kejayaan sebagai juara dalam Kem Golf Remaja Kebangsaan Maybank 2012,” kata Penolong Pengurus Program Pembangunan Remaja Kebangsaan Persatuan Golf Malaysia Shairul Erwin Samsudin kepada pemberita di sini, hari ini.

Kem Golf Remaja Kebangsaan Maybank 2012 selama tiga hari bermula 9 Dis lepas di Glenmarie Golf and Country Club.  Shairul berkata pemilihan dibuat berdasarkan keputusan perlawanan sembilan lubang pada hari terakhir kem berkenaan hari ini, dengan Shi Qing mendominasi kategori perempuan dengan mencatat 39 pukulan manakala Mohd Zairiq Encho pula menjuarai kategori lelaki dengan mencatat 40 pukulan.

Pada hari pertama kem itu, seramai 74 pemain golf remaja berusia 11 hingga 16 tahun dibimbing mengenai peraturan dan elemen-elemen sukan golf.  “Selain peraturan, kami turut mengajar mereka secara praktikal bermain golf di padang dan cara mengira handicap.

“Kami juga memberikan ceramah bagi membentuk pemikiran mereka dan memberi motivasi mengenai sukan golf bagi menambahkan semangat mereka dalam sukan ini,” katanya.

Program itu akan memilih lima hingga 10 pemain terbaik dalam kelompok usia tersebut dan mensentralisasikan mereka untuk memudahkan jurulatih kebangsaan memantau perkembangan mereka.

Mohd Zairiq Encho dari Wilayah Persekutuan Labuan, yang melibatkan diri dalam sukan golf sejak sembilan tahun lepas, berkata secara keseluruhan kem berkenaan memberi pengalaman baru yang menarik.

“Saya dapat belajar tentang peraturan serta cara bermain golf dengan betul dan menjadi juara pada hari ini serta dapat peluang bermain dalam Pro-Am di MMO nanti. Peluang itu ibarat mimpi sudah menjadi kenyataan,” katanya.  Beliau yang meminati pemain golf ternama, Tiger Woods berharap dapat menjadi pemain golf profesional seperti idolanya pada masa akan datang.  — BERNAMA