Connect with:




Keputusan sepakan penalti yang mengundang kontroversi membabitkan perlawanan Selangor dan Pahang di Stadium Cheras, Sabtu lalu menyaksikan pengadil dan pembantunya terpaksa berdepan dengan penggantungan selama dua minggu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasan Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh mengumumkan hukuman itu diberikan atas dasar pemerhatian mereka kepada pegawai perlawanan yang gagal memberikan keputusan adil kepada kedua-dua pasukan.

Dua pegawai terbabit didapati menggunakan maklumat yang salah apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada pelawat yang sepatutnya menjadi sepakan percuma di luar kotak.

“Mereka tidak begitu cergas dan tidak bersedia dari sudut fizikal. Bukan itu sahaja, prestasi mereka secara keseluruhan 90 minit tidak memberansangkan.

“Dua pegawai perlawanan tersebut juga tidak dapat membaca perlawanan dengan baik. Sebab itulah, kami mengambil tindakan untuk menggantung mereka,” katanya.

Aksi keempat Liga Super itu mencetuskan kontroversi apabila skuad Tok Gajah diberikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan The Red Giants, Willian Pacheco biarpun kesalahan itu berlaku di luar kotak penalti.

Francis Forkey Doe berjaya menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk menjadikan kedudukan 3-1 dalam perlawanan itu.

Selain dua pegawai perlawanan pada aksi itu, Subkhiddin juga menyenaraikan pengadil bagi aksi Liga Perdana yang membabitkan pertembungan Kuantan FA dan MIFA juga digantung dua minggu dan pengadil bagi perlawanan Negeri Sembilan melawan Terengganu FC diberikan amaran keras.