Connect with:




Dua pemain remaja negara cemerlang dalam kategori masing-masing manakala tiga lagi gagal dalam Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Britain 2019 di Birmingham, England, awal pagi tadi.

Ameeshenraj Chandaran, pemain pilihan kelima hingga kelapan bagi kategori lelaki Bawah 15 (B-15), berjaya membuat kejutan apabila berjaya mengatasi pilihan pertama, Dennis Gilevisky dari Ireland, 8-11, 11-6, 11-5, 11-7, menurut laman web www.britishjunioropen.com.

Ameeshenraj Chandaran

Seorang lagi pemain negara, Nickhileswar Moganasundharam, pula berjaya menepati kedudukannya sebagai pemain pilihan pertama kategori lelaki B-11, dengan mengetepikan pilihan kedua, Chris Baddour (Mesir),, 9-11, 11-7, 11-4, 11-6.​​​​​​​

Nickhileswar Moganasundharam

​​​​​​​Nasib berbeza dilalui juara bertahan kategori perempuan B-15, Aira Azman, apabila gagal mempertahankan gelarannya dengan tewas kepada pemain pilihan kedua, Salma El-Tayeb (Mesir), 8-11, 11-9 11-7, 13-15, 7-11.​​

Seorang lagi pemain negara, Whitney Wilson, yang merupakan pemain pilihan pertama perempuan B-11, tewas mengejut kepada pemain pilihan ketiga-keempat, Anahat Singh (India), 11-13, 9-11, 11-7, 9-11.​​​​​​​

Pemain pilihan bersama kelima lelaki B-13, Harith Danial Jefri, juga mengalami nasib yang sama selepas tewas kepada seorang lagi pemain Mesir yang juga pilihan kedua, Abdallah Eissa, 7-11, 11-9, 11-9, 7-11, 12-14.

— BERNAMA