Connect with:




Dua pemain badminton Malaysia masing-masing menghadapai enam pertuduhan mengatur perlawanan, yang kebanyakannya dilakukan pada 2013, menurut pemerhati Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Jadadish Chandra.

Hari pertama perdengaran kes oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF), yang melibatkan pemain perseorangan Zulfadli Zulkifli,25, dan Tan Chun Seang,31, bermula di Singapura, hari ini.

Jadadish, yang juga Ahli Majlis BAM, mengetuai jawatankuasa peraturan, disiplin dan integriti badan kebangsaan itu.

“Satu daripada perlawanan itu ialah Grand Prix Korea,” kata Jadadish selepas pendengaran itu.

BWF juga mengetahui tentang aktiviti mengatur perlawanan melibatkan dua pemain itu berikutan laporan yang dibuat seorang pemain.

“Ia bukan pemain Malaysia dan tiada kaitan dengan pemain Denmark,” katanya.

Jadadish menambah lagi bahawa empat saksi dari tiga negara memberi kenyataan hari ini, manakala dua lagi akan memberi keterangan esok.

Pendengaran akan bersambung pada 10 pagi esok.

Ditanya mengenai pendengaran itu, Jadadish berkata: “Saya tiada isu berkaitan prosedur. Panel terlibat amat adil. Saya berharap keadilan dapat ditegakkan nanti.

“Pemain berkenaan juga memberi kerjasama yang amat baik,” katanya.

Beliau juga tidak menyangka BWF akan memberi keputusan kes itu esok kerana kebiasaannya “sesuatu keputusan akan diserah secara bertulis berserta dengan alasan kepada kami”.

Zulfadli, bekas juara remaja dunia 2011 dan Chun Seang, yang pernah beraksi dalam Piala Thomas 2010, masing-masing diwakili dua peguam dalam pendengaran dua hari itu.

Pendengaran dikendalikan oleh panel tiga angota daripada BWF. – BERNAMA

Foto Kredit : sinarharian(dot)com