Connect with:




Dua gol sendiri dari Daniele De Rossi dan Kostas Manolas cukup untuk membantu Barcelona mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas AS Roma pada suku akhir pertama di Nou Camp awal pagi tadi.

Barcelona terlebih dahulu berada di depan apabila De Rossi menjaringkan gol sendiri pada minit ke-38 sebelum seorang lagi pemain Roma, Kostas Manolas menjaringkan gol sendiri bagi membolehkan tuan rumah selesa di depan.

Gerard Pique menambah derita pasukan pelawat dengan jaringan ketiga hasil sepakan jarak dekat sebelum Edin Dzeko meledak gol sagu hati buat Roma. Luis Suarez menamatkan sisa-sisa perjuangan Roma dengan gol keempat pada minit ke-87.

Keputusan itu bermakna Barcelona akan ke Itali minggu depan dengan bekalan selesa dan sudah berada sebelah kaki di separuh akhir.

Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde mengakui pasukannya belum memberikan aksi terbaik dan banyak melakukan kesilapan.

“Kami tidak mempunyai keseimbangan dalam permainan. Kami ada kalanya terlalu cepat untuk menyerang,” kata Valverde.

Barca bernasib baik apabila pengadil, Danny Makkelie tidak menghadiahkan penalti kepada Roma selepas Nelson Semedo menolak Dzeko dari belakang.

“Mereka sudah cukup baik dan tidak memerlukan bantuan,” kata pengendali Roma, Eusebio Di Francesco.

“Malam ini mereka mendapat dua bantuan daripada kami dna juga pengadil.”

 

Kedua-dua pasukan bakal bertemu sekali lagi dalam aksi kedua di Itali pada 11 April ini. – AFP

Sumber : Harian Metro