Peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Piala Axiata 2012 bakal menemukan dua musuh tradisi sukan badminton, Malaysia dan Indonesia. Malaysia diwakili oleh Malaysia Tigers iaitu selaku skuad utama dan Malaysia Leopards (skuad remaja) sementara Indonesia pula mempertaruhkan Indonesia Garuda (skuad utama) dan Indonesia Rajawali (skuad remaja).

Pertembungan dua generasi berbeza sukan badminton ini sememangnya mempunyai tarikannya yang tersendiri. Peringkat separuh akhir yang akan dilangsungkan secara timbal balik dijadualkan bermula pada 30 April ini di mana Malaysia Tigers akan membuat perhitungan dengan Indonesia Garuda di Britama Arena Sports Mall, Jakarta. Di Stadium Badminton Cheras pula, Malaysia Leopards akan melayan kunjungan Indonesia Rajawali pada keesokkan harinya.

Tanpa kelibat Datuk Lee Chong Wei yang telah dinasihatkan berehat akibat kecederaan bahu yang dialaminya, cabaran Malaysia Tigers telah  diketuai Muhd Hafiz Hashim sepanjang aksi kumpulan. Walaubagaimanapun untuk aksi separuh akhir nanti, Chong Wei amat berharap yang beliau dapat diturunkan kerana kecewa melihat kekalahan rakan sepasukan kepada skuad remaja Indonesia, Indonesia Rajawali dalam aksi kumpulan sebelum ini.

Bagi ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek, beliau tidak mahu mengambil risiko menurunkan perseorangan nombor satu dunia itu kerana mengikut laporan awal perubatan terhadap Chong Wei sebelum ini, Chong Wei dinasihatkan untuk berehat untuk tempoh lima minggu dan kini masih berbaki dua minggu lagi.

“Pemain sediaada perlu bangkit dan buktikan mereka mampu beri keputusan cemerlang meskipun tanpa Chong Wei,” ujarnya lagi sambil mengakui Chong Wei kecewa kerana gagal membantu rakan sepasukannya muncul johan peringkat kumpulan dan mahu diturunkan menentang Indonesia Garuda.

Sementara itu, Malaysia Leopards pula dilihat tidak ada sebarang masalah dan mungkin akan mempertaruhkan barisan terkuat yang diketuai Misbun Ramdan Misbun untuk menentang Indonesia Rajawali. Selain Misbun Ramdan, skuad ini juga dibarisi juara perseorangan remaja dunia 2011, Zulfadli Zulkifli dan juara beregu remaja dunia 2009, Ow Yao Han-Chooi Kah Ming.