Pahang

Sekalipun mendahului Liga Super dengan mencatat tiga kemenangan berturut-turut, jurulatih Pahang Dollah Salleh belum berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya.

Dollah berkata beliau melihat corak permainan skuad Pahang itu belum  berada
pada tahap prestasi sebenar mereka.

“Tiga mata penuh dengan tiga kemenangan adalah penting, tapi corak permainan
ketika menentang Negeri Sembilan semalam sebenarnya jauh daripada prestasi
sebenar mereka,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata beberapa posisi pemain dalam pasukan itu terutama di bahagian
serangan masih longgar dan perlu diperkemas.

“Di barisan serangan nampak tidak menjadi, pemain banyak mensia-siakan
peluang selain cara hantaran bola pula kurang kemas,” katanya.

Pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, semalam, Pahang menewaskan Negeri
Sembilan 2-1. Dollah turut melahirkan rasa kecewa terhadap prestasi pemain import Pahang yang dilihat masih gagal mempamer permainan memberangsangkan.

Beliau berkata dua pemain import, Nikolce Kleckarouski dan Mohamad Borji,
belum memperlihatkan persembahan yang diharap.

“Ketika dalam latihan, mereka bagus, tapi bila beraksi dalam perlawanan
sebenar, mereka nampaknya tidak banyak membantu pasukan,” katanya – BERNAMA.