Timbalan Presiden, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata tidak mustahil besar kemungkinan Dollah Salleh bakal dikenakan tindakan atas kenyataan yang dikeluarkan olehnya pada pengadil dalam perlawanan di antara Felda United dan Pahang.

Perkara tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib, Datuk Baljit Singh Sidhu, sama ada kenyataan yang dikeluarkan itu perlu dikenakan tindakan ataupun tidak, jelas Yusoff.

Walaupun memahami Dollah merujuk kelemahan mutu pengadilan di dalam perlawanan itu, tetapi Yusoff menegaskan bahawa tidak ada sesiapa yang akan terlepas daripada sebarang hukuman jika didapati telah melanggar peraturan yang sudah ditetapkan.

“Saya harap pihak Jawatankuasa Tatatertib akan mengambil kenyataan Dollah dan menilai sama ada perlu diambil tindakan ataupun tidak. Saya tidak mahu mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut, biarlah jawatankuasa yang menilainya,” katanya.

“Kenyataan yang dikeluarkan oleh Dollah Salleh ada berunsur prejudis dan mampu hilangkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap bola sepak negara kita,” tambahnya lagi.