image

Jurulatih bola sepak Pahang Dollah Salleh mengakui sentuhan serta kelincahan pemain tempatan pasukan itu lebih berbisa berbanding pemain import selepas anak buahnya berjaya menundukkan pasukan Johor
Darul Takzim (JDT) yang mempunyai ramai pemain berstatus bintang.

Mengambil contoh kelincahan Fauzi Roslan pada saingan Liga Super malam tadi yang menyaksikan JDT diaibkan tuan rumah dengan keputusan 3-2, Dollah berkata pemain berasal dari Pekan, Pahang itu menunjukkan prestasi membanggakan dengan menjaringkan dua gol.

“Saya memang tak nafikan bahawa pemain tempatan yang ada di Pahang ini sebenarnya ramai yang boleh pergi lebih jauh. 

“Memang kita turunkan dua pemain import tetapi agak tidak menjadi dan separuh masa kedua Tengku Muda Tengku Abdul Rahman (selaku Presiden PBNP)
sendiri mencadangkan supaya menurunkan pemain tempatan,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan dengan JDT malam tadi.

Katanya, ekoran itu beliau menukar dua pemain import skuad Tok Gajah (Nikolce Kleckarovski dan Mohamed Borji) dan terbukti percaturan menurunkan pemain tempatan membuahkan hasil.

Dollah bagaimanapun mengakui pertahanan pasukan itu masih longgar dan perlu diperkemas. – BERNAMA