Novak Djokovic mempamerkan aksi longlai apabila bekas pemain nombor satu dunia itu tewas mengejut kepada pemain kelayakan dari Jepun, Taro Daniel pada pusingan kedua Terbuka BNP Paribas di California hari ini.

Djokovic yang baru pulih daripada pembedahan siku kanannya kelihatan tidak seperti dulu apabila tewas 7-6(3) 4-6 6-1 untuk tersingkir awal daripada kejohanan yang dijuarainya sebanyak lima kali.

Aksi Djokovic menentang pemain nombor 109 dunia itu ternyata menghairankan penonton.

Juara grand slam empat kali dari Amerika Syarikat, Jim Courier,  mendakwa pemain Serbia itu sudah ‘menyerah kalah’ dan mempersoalkan kesungguhan Djokovic.

“Tanda tanya disebalik kekalahan hari ini akan terus menjadi bsar,” kata Courier dalam komennya menerusi Tennis Channel.

“Kami berfikir apa yang akan dihadapi Djokovic selepas pembedahan, bagaimana reaksi sikunya terhadap tekanan dan kesakitan tetapi dari segi mentalnya tidak selari dalam perlawanan ini.

Djokovic yang juga juara grand slam sebanyak 12 kali, selaku pilihan ke-10 kejohanan, sedar akan persembahan buruknya.

“Ia bagaikan kali pertama saya menyertai jelajah ini, amat pelik,” katanya.

“Saya kehilangan rentak, saya bergelut dengan tahap kesihatan sejak beberapa minggu lalu.

“Saya gembira dapat kembali ke gelanggang dengan segera tetapi pada masa sama ia tidak menyeronokkan. Saya mempunyai keberanian tetapi banyak melakukan kesilapan.”

Foto Kredit : thenational(dot)ae