Connect with:




Ini mungkin berita kurang baik untuk didengar oleh peminat-peminat badminton seluruh negara apabila jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak dapat disenaraikan dalam skuad Piala Sudirman yang akan berlangsung di Nanning bermula 19-26 Mei ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai keputusan itu dibuat berdasarkan nasihat doktor yang merawat Chong Wei.

“Doktor yang merawatnya menasihatkan Chong Wei agar meneruskan proses pemulihan dan jangan letakkan tekanan ke atas dirinya kerana kesihatan lebih penting buat Chong Wei,” katanya.

Dengan ketiadaan Chong Wei, perseorangan lelaki utama negara akan digalas oleh Lee Zii Jia dalam kejohanan itu. Kejohanan dwitahunan edisi ke-16 itu menyaksikan Malaysia diundi dalam kumpulan 1D bersama China dan India.

Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei
Foto: Lee Chong Wei

Tapi pernahkah kita terfikir kenapa kejohanan ini diberi Piala Sudirman dan apa bezanya kejohanan ini dengan kejohanan-kejohanan yang lain? Siapa Sudirman ini, sehingga kejohanan ini diletakan namanya?

Piala Sudirman ialah sebuah kejohanan badminton campuran peringkat dunia di bawah selian Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang diadakan setiap dua tahun sekali bermula 1989. Setiap pasukan akan diwakili oleh perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita serta beregu campuran.

Piala ini dinamakan sempena nama bekas pemain Indonesia, Dick Sudirman. Beliau juga merupakan pengasas Persatuan Badminton Seluruh Indonesia (PBSI) dan kejohanan Piala Sudirman pertama diadakan di Stadium Bung Karno, Jakarta, Indonesia pada 24-29 Mei 1989.

Bekas pemain Indonesia, Dick Sudirman
Foto: Beritagar

Apa yang membezakan kejohanan ini dengan kejohanan yang lain adalah kejohanan Piala Sudirman tidak akan menawarkan hadiah wang kepada pemenang tetapi hanya akan menjulang piala sahaja. Kejohanan ini bertujuan untuk mengharumkan nama negara yang diwakili pemain dan juga akan memperolehi mata ranking dunia BWF.

Reka bentuk pialanya pula mempunyai ketinggian 80 cm dan ia diperbuat daripada emas yang disalut dengan perak yang mempunyai 22 karat (92%) serta bahagian tapaknya pula berbentuk octagon yang dibuat daripada kayu jati.

Rupa bentuk piala ini seakan-akan menyamai sebiji bulu tangkis dan bahagian atasnya pula dihiasi dengan replika candi Borobudur. Pada bahagian pemegangnya pula berbentuk bunga sari yang melambangkan taraf pemain handalan dalam sukan badminton. Piala ini dibuat oleh Masterix Bandung Company yang bernilai kira-kira US$15,000 bersamaan RM62,000.

Sebelum ini kejohanan Piala Sudirman tidak memerlukan pusingan kelayakan untuk bertanding. Pertandingan ini dibahagikan kepada tujuh kumpulan untuk mengadakan perlawanan. Tetapi hanya pasukan dari kumpulan 1 sahaja yang akan berebut kejuaraan manakala pasukan dari kumpulan lain hanya bertujuan promosi sahaja.

Hanya enam pasukan bersaing dalam Kumpulan 1 hingga 2003 sebelum ia meningkat kepada 8 pada 2005 dan kemudian kepada 12 pasukan pada 2011. Pasukan yang mengutip mata terendah dalam setiap kumpulan akan disingkirkan ke kumpulan lebih bawah kecuali kumpulan terakhir. Tetapi pada 2009, sistem promosi penyingkiran tidak lagi digunakan kerana pasukan yang bersaing sekarang akan dikelompokkan oleh kedudukan ranking dunia BWF.

Pertama kali kejohanan ini dianjurkan di Indonesia pada 1989, Indonesia muncul sebagai juara pertama Piala Sudirman dengan menewaskan Korea Selatan 3-2. Sejak kejohanan ini diadakan hanya tiga buah negara sahaja yang pernah muncul juara iaitu Indonesia, China dan Korea Selatan.

Skuad China yang menjuarai Piala Sudirman pada 2015 di Dongguan, China. Foto: BWF

Rekod yang paling cemerlang adalah milik China apabila berjaya mendominasi Piala Sudirman dengan 10 gelaran diikuti Korea Selatan dengan 4 gelaran dan Indonesia dengan 1 gelaran. Piala ini hanya diungguli oleh negara Asia sahaja, Denmark merupakan satu-satunya negara bukan Asia yang berjaya menjadi naib juara pada 1999 apabila tewas kepada China 3-1.

Adakah Piala Sudirman 2019 yang diadakan di di Nanning, China bermula 19-26 Mei ini sekali akan menobatkan China sebagai juara ke-11 ataupun kejutan dari skuad Malaysia untuk menjadi juara buat pertama kali?

Foto: BWF