Jurulatih Freddie Roach menyarankan lagenda petinju Asia, Manny Pacquiao untuk menamatkan kariernya selepas ditewaskan oleh jaguh tidak ternama dari Australia, Jeff Horn dalam perlawanan baru-baru ini.

Pada perlawanan tersebut, Horn berjaya merampas gelaran juara dunia kategori welterweight dan sekali gus menumpaskan Pacquiao dengan catatan rasmi 117-111, 115-113 dab 115-113.

Susulan dari perlawanan itu, Roach menyarankan agar Pacquiao meninggalkan pentas tinju dengan bermaruah.

“Saya akan berbincang dengan Pacquiao selepas kami pulang ke Manila. Mungkin ini adalah pertarungan profesional terakhirnya atau kita lihat bagaimana keputusannya nanti,” kata Roach.

Tambahan pula, permintaan tersebut juga dipersetujui oleh lagenda tinju antarabangsa, Jeff Fenech.

Menurut Fenech, untuk membenarkan Pacquiao untuk bertarung semula merupakan keputusan yang tidak bijak dan dia disarankan untuk bersara.

Sementara itu, Pacquiao masih enggan memikirkan untuk melupakan dunia tinju malah mengakui tidak teragak-agak untuk menggunakan kontraknya bersama pihak penganjur iaitu mahu pertarungan tersebut diadakan semula.

Pacquiao merupakan petinju yang bergelumang hampir 22 tahun selain meraih lapan gelaran juara dunia.