Connect with:




Latihan keras, didikan abang penuh disiplin serta azam mahu menjadi pemain boling berjaya meletakkan atlet boling tenpin negara, Muhammad Rafiq Ismail kini sebagai juara dunia.

Menceritakan kenangan lamanya dalam laporan Berita Harian, atlet berusia 22 tahun itu tidak menyesal melalui pelbagai rintangan serta ancaman rotan oleh abangnya dalam latihan sejak kecil sebelum menjadi atlet negara ketika ini.

Muhammad Rafiq sangat menghargai sumbangan abangnya, Mohd Redza Ismail yang telah memberi perhatian serta membantu beliau dalam sukan tersebut. Menurutnya, abangnya merupakan pencetus semangat beliau dalam dunia boling sejak kecil.

Semalam berlansungnya majlis Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2018, Muhammad Rafiq telah mengetepikan saingan pilihan popular iaitu jaguh berbasikal trek, Mohd Azizulhasni Awang serta gandingan dua ratu terjun, Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong, Amy Kwan Dict Weng (gimrama) dan Mohamad Hazim Amzad (silat).

Foto: MTBC The official FB page

Beliau sebelum ini melakar kejayaan meraih emas dalam acara perseorangan Kejohanan Boling Lelaki Dunia 2018 di Hong Kong dan lebih manis kejayaan itu menjadikan beliau sebagai pemain Malaysia pertama mencapai kejayaan itu dalam tempoh 39 tahun.

Malah beliau turut cemerlang pada temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 dengan meraih satu pingat emas dan satu pingat perak masing-masing menerusi acara Masters dan Trio Lelaki yang mana beliau bergandingan dengan Ahmad Muaz Mohd Fishol dan Timmy Tan.

Muhammad Rafiq berjaya membawa pulang trofi dan hadiah wang tunai RM10,000 yang disampaikan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Antara pencapaian yang diraih beliau pada 2018 adalah tempat ketiga di PBA-WBT Thailand setelah tewas kepada Stuart Williams dalam perlawanan separuh akhir  dengan 206-205, tempat ketiga di Terbuka PBA Xtra Frame Jonesboro tewas kepada Tom Daugherty 218-175 dalam perlawanan separuh akhir.

Manakala pada 2016 beliau telah muncul juara dalam acara Masters lelaki pada Kejohanan Boling Asia ke-24 serta menjadi antara yang terbaik dalam ranking Asia 2017.

Foto: Bowling Digital.com