Connect with:




Bola baling merupakan sukan yang popular di peringkat sekolah selepas bola sepak. Dimainkan sehingga ke peringkat Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia, permainan yang memerlukan kepantasan dan kekuatan merejam bola ini bagaimanapun terhenti perkembangannya setakat peringkat universiti.

Ketiadaan liga dengan hanya kejohanan-kejohanan mini membuatkan bola baling terkebelakang dalam arena sukan Malaysia. Namun itu tidak menghalang Persatuan Bola Baling Malaysia menghantar penyertaan ke Sukan Asia di Indonesia, tahun ini.

Semalam, pasukan kebangsaan membuka tirai berdepan cabaran juara bertahan, Qatar. Seperti dijangka, Malaysia dibelasah teruk oleh Qatar dengan keputusan 11-64. perbezaan kualiti kedua-dua pasukan nyata berbeza ibarat langit dan bumi.

Qatar merupakan pasukan terkuat Asia dan antara yang digeruni di dunia. Pernah muncul naib juara dunia pada 2015, Qatar turut memperkuatkan pasukan dengan pemain naturalisasi seperti Rafael Qapote dan Frankis Marzo yang berasal dari Cuba, Bertrand Roine (Perancis), Danijel Sanic (Bosnia) dan Goran Stojanovic (Serbia). Selebihnya adalah pemain dari Afrika Utara dan hanya dua sahaja pemain yang benar-benar dilahirkan di Qatar.

Bagi pasukan negara, peluang beraksi dengan salah satu pasukan terkuat di dunia ini pastinya satu pengalaman besar buat Malaysia yang masih jauh tahapnya untuk bersaing dengan negara-negara lain.

Malaysia selepas ini dijadualkan bertemu dengan semi finalist edisi terdahulu, Iran pada Rabu nanti.