Connect with:




Skuad hoki Malaysia berjaya membalas dendam kekalahan kepada Jepun dalam perlawanan akhir Sukan Asia di Jakarta tahun lalu dengan mencatatkan kemenangan tipis 4-3 dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah.

Kemenangan itu mengekalkan kedudukan Malaysia di tangga teratas dengan enam mata selepas dua perlawanan diikuti Korea Selatan dan India, masing-masing empat mata. Kanada pula ditempat keempat dengan tiga mata dan Jepun dan Poland masing-masing di tempat kelima dan keenam tanpa sebarang mata.

Dalam aksi di Stadium Azlan Shah di sini, Faizal Saari muncul wira apabila meledak dua gol buat Malaysia manakala dua lagi jaringan pasukan negara disempurnakan oleh Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Razie Abdul Rahim.

Faizal kini mendahului senarai penjaring terbanyak kejohanan dengan merekodkan lima gol setakat ini selepas mencetak hatrik ketika Malaysia membenam Poland 5-1 dalam aksi pembukaan.

Kemenangan kedua itu menyaksikan Malaysia kini di landasan tepat dalam misi memburu gelaran juara kejohanan buat kali pertama dengan pencapaian terbaik sebelum ini adalah lima kali muncul naib juara.

Walaupun Malaysia berjaya mencatat kemenangan, skuad kendalian Roelant Oltmans tetap cemas dengan kebangkitan Jepun yang dilihat sama seperti di perlawanan akhir.

Dalam perlawanan itu, Faizal tidak menunggu lama untuk meletakkan Malaysia di depan, menjaringkan gol padang seawal minit ketiga sebelum Aiman Rozemi menggandakan jaringan buat pasukan negara empat minit kemudian.

Jepun yang menewaskan Malaysia pada aksi final Sukan Asia 2018 bagaimanapun berjaya merapatkan jurang menerusi gol padang Kazuma Murata minit ke-17 tetapi Faizal meledak gol ketiga minit ke-25.

Ketinggalan 3-1, Jepun terus mempamerkan semangat juang tinggi dan berjaya menjaringkan gol kedua pasukan itu menerusi Kota Watanabe pada minit ke-37.

Namun, Razie Rahim meledak gol keempat Malaysia menerusi pukulan sudut penalti minit ke-53.

Jepun yang masih belum mengalah biarpun ketinggalan 4-2, menyumbat gol ketiga menerusi Koji Yamasaki pada minit ke-54 tetapi jaringan itu belum cukup untuk menafikan kemenangan buat pasukan Malaysia.

Malaysia dijadual bertemu India untuk aksi ketiga pada Selasa manakala Jepun menentang Kanada.

Foto: Stadium Astro