Connect with:




Awal pagi esok akan bermula saingan peringkat separuh akhir yang melibatkan pasukan dari Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur yang akan melayan kunjungan pasukan dari Liga Eredivisie, Ajax Amsterdam. Mari kita lihat apa yang menarik tentang kedua-dua pasukan ini menjaelang aksi separuh akhir awal pagi esok.

 

Tottenham Hotspurs

Jurulatih : Mauricio Pochettino

Kapten : Hugo Lloris

Menjelang aksi separuh akhir pertama di laman sendiri, Spurs dilihat bergelut dengan kecederaan beberapa pemain seperti Harry Kane, Moussa Sissoko, Erik Lamela, Harry Winks dan Serge Aurier. Spurs juga bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris untuk merebut slot empat teratas untuk layak ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Prestasi Spurs menjadi tidak menentu dalam liga apabila mereka tewas dalam dua daripada lima perlawanan terakhir.

Perkara yang membuat Mauricio Pochettino lebih gelisah apabila rekod kemenangan di stadium baru mereka tercalar selepas tewas 0-1 kepada West Ham. Kini Spurs perlu menang kedua-dua perlawanan terakhir liga untuk mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim hadapan. Kini, Spurs mengharapkan pemain-pemain yang ada untuk memberikan yang terbaik untuk saingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara dan menggunakan manfaat di tempat sendiri.

Antara pemain yang akan menjadi sandaran Spurs awal pagi esok untuk merobek gawang Ajax adalah Christian Eriksen, Son Heung-Min, Dele Alli dan Lucas Moura. Pochettino juga barisan pertahanannya mampu mengekang asakan daripada pemain-pemain muda Ajax. Tugasan kapten yang diberikan kepada Hugo Lloris akan menjadikan dia adalah benteng terakhir Spurs untuk mengawal gawang daripada dibolosi.

Lebih menarik lagi, empat daripada pemain Spurs kembali menentang bekas pasukan mereka. Mereka adalah Jan Vertonghen, Christian Eriksen, Toby Alderweireld dan Davinson Sanchez. Mungkin mereka mempunyai tips untuk mengekang asakan daripada pemain-pemain Ajax.

 

Ajax Amsterdam

Jurulatih : Erik Ten Hag

Kapten : Matthijs de Ligt

Skuad kendalian Erik Ten Hag berada di prestasi terbaik mereka selepas menang lima perlawanan terkahir mereka di Liga Eredivisie. Ajax turut menerima suntikan semangat daripada Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB) apabila mendapat penundaan jadual perlawanan.

Ajax sepatutnya menentang pasukan ketiga tercorot liga, De Graafschap pada 28 April, tiga hari sebelum menentang Tottenham Hotspur. Namun, badan induk bola sepak Belanda telah bersetuju untuk menunda saingan liga sehingga 15 Mei.

Ajax kini berada di persada liga berkongsi 80 mata bersama PSV Eindhoven namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan. Pemain-pemain Ajax kini mempunyai rehat yang secukupnya daripada Spurs. Ia mungkin satu kelebihan kepada anak buah Ten Hag untuk mencari bekal yang selesa bagi menghadapi separuh akhir kedua nanti.

Skuad Ajax kini dibarisi ramai pemain muda yang mampu menyinar dan bakal menjadi harapan untuk membawa pulang bekalan selesa ke Amsterdam. Antara pemain yang menjadi tumpuan adalah Frenkie de Jong, Matthijs de Ligt, Hakim Ziyech, David Neres dan Dusan Tadic. Ajax juga akan mengharapkan pengalaman Daley Blind yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris untuk memberikan sedikit maklumat serta mengetuai barisan pertahanan untuk mengawal gawang daripada di bolosi.

Foto : Sportskeeda