Connect with:




Kedua-dua kejuaraan Liga Super dan Liga Premier telah pun diketahui pemenangnya. JDT berjaya melakukan double hatrick sementara Sabah mengakhiri penantian trofi semala 23 tahun.

Dengan kejuaraan liga diketahui pemenangnya lebih awal, peminat bolasepak Malaysia kini beralih arah kepada tiga perebutan yang bakal menentukan barisan pasukan bertanding musim hadapan.

Di Liga Super, tiga pasukan iaitu PKNP FC, Felda United dan Kuala Lumpur akan mengetahui nasib mereka sama ada kekal atau tersingkir dari saingan liga.

Kelebihan terletak pada PKNP FC yang berada di tangga kesembilan. PKNP FC bagaimanapun perlu menang ke atas PJ City FC di Petaling Jaya kerana jika tewas, Felda United dan Kuala Lumpur akan memotong mereka jika kedua-dua pasukan ini menang terhadap lawan masing-masing.

Bagi Felda United dan Kuala Lumpur, mereka pastinya mengharap lawan mereka iaitu finalis Piala FA akan merehatkan barisan utama dalam aksi terakhir liga ini. Felda akan menerima kunjungan Kedah sementara Kuala Lumpur bertandang ke Ipoh menentang Perak.

Saingan penutup tirai Liga Premier juga tidak kurang hebatnya dengan perebutan untuk ke Liga Super menjadi tumpuan. Memandangkan naib juara liga, JDT II tidak dibenarkan untuk naik ke divisyen pertama, kuota tersebut terbuka kepada empat pasukan iaitu PDRM, UITM FC, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

Lebih menarik, keempat-empat pasukan akan bertembung dalam dua perlawanan serentak iaitu PDRM menentang Pulau Pinang sementara UITM FC bertemu Negeri Sembilan.

Di dasar liga, satu pasukan akan tersingkir sama ada Sarawak atau Kelantan. Dibezakan dengan hanya satu mata, Sarawak perlu menang ke atas Selangor United sambil mengharapkan Kelantan gagal membenam UKM FC di Kota Bharu.