Connect with:




Debaran yang dirasai penyerang skuad kebangsaan,Fitri Saari dalam menunggu keputusan daripada Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) untuk membenarkannya bermain dalam Liga Hoki Oman bersama kelab Al Seed.

Keputusan yang ditunggu untuk mengikut jejak langkah abangnya Faizal Saari dan jika Fitri layak, Fitri akan menjadi pemain keempat dari Malaysia yang beraksi dalam Liga Oman.

Faizal, Hafiz dan Kavin kini mewakili pasukan Sohar Hockey Club malah mereka juga sudah berada di Oman.

 

 

Berikut merupakan beberapa pemain hoki terbaik Malaysia :

S.Kumar (Penjaga Gol)
Penjaga gol kebangsaan sekarang. Berusia 35 tahun dengan 210 caps untuk Malaysia. Sering bersaing
dengan Roslan Jamaluddin untuk posesi penjaga gol utama Malaysia. Pemilihan yang paling sukar mengambil kira betapa ramai penjaga gol yang hebat buat negara seperti Roslan, Mohd Nasihin Nubli dan Ahmad Fadzil Zainal Abidin.

S. Kuhan (Pertahanan)
Pakar sudut pendek dan benteng pertahanan kebal Malaysia. Sepanjang kerjayanya dalam bidang hoki, S.Kuhan telah mewakili negara sebanyak 341 kali, ia satu rekod. Berbadan tegap dan tinggi, Kuhan menjaringkan banyak gol-gol penting buat negara menerusi pukulan sudut penalti.

Dr. Calvin Ronnie Fernandez (Tengah)
Dr. Calvin bukan sahaja pintar dalam pelajaran, dia juga pintar di atas padang hoki. Mempunyai bacaan permainan yang baik dan sentiasa berada dalam posesi yang sesuai dalam perlawanan.

Sarjit Singh (Tengah)
Bekas ketua pasukan negara dan pemain lagenda. Di zaman kemucaknya, Sarjit Singh adalah salah seorang pemain tengah terbaik di dunia. Mempunyai keupayaan membuat hantaran-hantaran tepat dan membuka pertahanan lawan. Pemain tengah yang tiada tolok bandingnya di Malaysia dan sukar di cari ganti.

Minarwan Nawawi (Sayap Kiri)
Minarwan Nawawi merupakan seorang pemain sayap terbaik di dunia, hampir setanding dengan pemain lagenda Pakistan, Shahbaz Ahmed. Keupayaan Minarwan mengelicik dan membawa bola dengan laju amat dirindui oleh peminat-peminat hoki tanahair. Sehingga kini, kita tidak dapat mencari pengganti yang sehebatnya.

Nor Saiful Zaini Nasiruddin (Sayap Kanan)
Jika Minarwan di kiri, Nor Saiful Zaini adalah legenda di sebelah kanan. Mempunyai kemahiran mengelecek yang tinggi, kepantasan yang hebat dan pukulan yang amat kencang, Nor Saiful sering menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan lawan. Bekas ketua pasukan negara ini juga terkenal sebagai salah seorang pakar sudut pendek terkemuka buat Malaysia.

Colin Sta Maria (Serangan Kiri)
Seorang pemain yang amat tenang dan konsistent serta mempunyai kemahiran yang luar biasa. Mempunyai semangat ‘team work’ yang kuat dan sering menciptakan peluang-peluang untuk disudahkan oleh penyerang utama. Colin juga punyai ‘work rate’ yang tinggi dan akan membantu bahagian pertahanan bila diperlukan.

Mohamad Abdul Hadi (Serangan Kanan)
Antara penyumbang gol utama buat Malaysia sepanjang kerjayanya. Hadi pintar menghidu peluang dan pantas bertindak dalam kotak penalti. Di luar kotak penalti pula, beliau dalah pemain yang serba boleh dan berskill tinggi. Selain dari kehebatan menjaringkan gol, Mohamad Abdul Hadi juga boleh memainkan peranan mencipta peluang jaringan buat rakan-rakan sepasukan.

Faizal Saari (Serangan Tengah)
Penyerang muda kebangsaan yang sedang meningkat naik. Mungkin terlalu awal untuk saya letakkan dalam senarai ini, namun keupayaan Faizal memang mengkagumkan saya. Dari segi teknik dan kemahiran, Faizal adalah bertaraf dunia. Apa yang beliau perlu lakukan kini adalah untuk naik setapak lagi dengan membuktikan keupayaannya di kejohanan-kejohanan besar seperti Olimpik dan Piala Dunia. Mungkin, Faizal boleh jadikan pemain Australia, Jamie Dwyer sebagai inspirasi untuk menjadi pemain handalan.

 

Foto kredit : Asiana.my