Connect with:




4 gol yang dijaringkan oleh penyerang kelahiran Brazil, Guilherme De Paula Lucrecio telah meletakkan pemain Kuala Lumpur itu kini sebaris dengan lagenda-lagenda pasukan itu dalam carta penjaring terbanyak sepanjang zaman.

Beliau kini mengumpul 51 gol dalam 51 perlawanan sepanjang dua musim bersama Kuala Lumpur setakat ini. Untuk rekod, penjaring terbanyak keseluruhan Kuala Lumpur dimiliki oleh Fandi Ahmad (67) dan K.Kannan (61) yang merupakan penyerang import dari Singapura. Manakala kedudukan ketiga sebelum ini milik penyerang tempatan iaitu Subardon Aziz dengan catatan 50 gol.

“Sudah tentu saya amat gembira dengan pencapaian ini setelah dua musim bersama The City Boys, ia merupakan pencapaian membanggakan dalam karier saya dan saya gembira dapat membantu pasukan malam ini,”

“Saya mempunyai baki kontrak selama satu tahun lagi bersama KLFA dan 67 gol (rekod Fandi) mungkin boleh dicapai jikalau kami meneruskan prestasi yang sama ketika ini,”¬†ujar pemain berusia 32 tahun itu.

Kuala Lumpur menang 4-1 keatas Felcra FC semalam dalam saingan Piala Malaysia dan De Paula menjaring kesemua gol The Hawks pada minit ke-6, 73, 85 dan 90. Sebelum ini mereka tewas dalam perlawanan pertama ketika menentang Terengganu dengan jaringan 5-1.

“Ianya bukan sesuatu yang mudah untuk mengekalkan prestasi yang sama setiap perlawanan tetapi saya tidak akan mudah menyerah walaupun keadaan tidak menjadi seperti yang saya mahukan,”

“Fokus pasukan sekarang ini ialah untuk keluar daripada peringkat kumpulan dan pergi sejauh mungkin dipusingan kalah mati.”

Foto Kredit: Facebook Kuala Lumpur Hawks