Daveta RC dari Fiji Terlalu Unggul Buat COBRA

 

Pasukan dari Fiji, Daveta RC muncul juara baru Kejohanan Ragbi HSBC Cobra 10’s edisi ke-43 selepas menumpaskan Cobra 38-5 dalam perlawanan akhir yang dilangsungkan di Stadium MBPJ.

Daveta sebelum itu mengejutkan juara bertahan, Penguin RSC diperingkat separuh akhir dengan kemenangan 21-12. Cobra yang juga finalis tahun lalu pula layak ke final dengan mengenepikan cabaran Borneo Eagles, 15-12.

Dalam aksi final, Daveta jelas menguasai sepenuhnya permainan dengan memaksa Cobra untuk lebih banyak bertahan. 2 try awal Daveta pada awal permainan jelas menunjukkan kesungguhan pasukan yang turut dibarisi beberapa bintang rugby 7’s Fiji ini untuk menjulang kejuaraan.

Cobra bagaimanapun berjaya merapatkan jurang melalui satu try sebelum tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, kegagalan Cobra untuk membuat hantaran dengan sempurna serta sering kali melakukan kesilapan-kesilapan mudah memberikan peluang kepada Daveta untuk terus mengungguli permainan

Devata akhirnya menambah 3 lagi try dan seterusnya memenangi perlawanan dengan kemenangan 38 berbalas 5.

Kemenangan ini membolehkan Daveta menjulang piala pusingan beserta hadiah wang tunai bernilai USD 10 ribu.

Sebelum itu, dalam aksi final bowl, Casuarina Cougars menewaskan NS Silverbacks 31-14 sementara Massey RFC berjaya memenangi kategori plate dengan kemenangan 21-14 keatas pasukan NNK Northlinks.