Ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David  yang juga duta United Nation Development Programme (UNDP) Malaysia telah dilantik menjadi jurucakap untuk kempen kesedaran terhadap hak kaum wanita yang merupakan hasil kerjasama antara UNDP dan juga stesen radio Traxx FM.

Kempen ini dilancarkan untuk memupuk kesedaran kepada masyarakat mengenai penderaan terhadap wanita dari segi fizikal, seksual, psikologi dan ekonomi yang semakin meningkat di Malaysia.

Bagi Nicol, dia berbangga dan gembira untuk menjadi sebahagian dari kempen ini yang dirasakan sangat dekat dengan hatinya.

“Saya percaya golongan muda terutamanya wanita menghadapi banyak cabaran disebabkan persepsi sesetengah pihak. Jadi kempen ini diharap dapat membantu masyarakat agar lebih bersikap terbuka dan bertanggungjawab dimasa hadapan” kata Nicol dalam ucapannya ketika majlis perasmian kempen yang diadakan di Angkasapuri.

Kempen ini akan menyaksikan 5 pesanan Nicol dalam Bahasa Melayu dan 5 lagi dalam Bahasa Inggeris akan dikeudarakan melalui Traxx FM dan beberapa stesyen radio RTM yang lain.