Datuk Nicol Ann David memulakan misi mempertahankan kejuaraan Kejohanan Squash Terbuka Kuala Lumpur Nicol David CIMB 2012 dengan langkah bergaya apabila mudah mengatasi lawan dari Australia, Donna Urquhart  dalam masa 35 minit. Beliau menguasai permainan dengan melakukan gerakan agresif dari permulaan permainan dan berjaya mengatasi Urquhart 11-5, 11-5 dam 11-6. Datuk Nicol Ann David akan turun menentang pemain bukan pilihan dari India, Dipika Pallikal jam 9.00 malam esok.

Dipika Pillikal melakukan kejutan apabila menewaskan pemain no 7 dunia, Kasey Brown dari Australia dengan keputusan 11-6, 11-7, 11-9 dalam perlawanan yang berlanjutan kepada 40 minit.

Manakala cabaran seorang lagi wakil Malaysia dalam acara wanita tahun ini berakhir apabila pemain di ranking 13 dunia, Low Wee Wern kalah kepada pemain dari Egypt, Reneem Al Weleily dengan keputusan 9-11, 6-11 dan 5-11 dalam masa 30 minit.

Satu lagi kejutan berlaku apabila pemain pilihan ke 2, Jenny Duncalf dari England tewas kepada pemain bukan pilihan iaitu Nour El Sherbini dari Egypt dalam permainan yang berlanjutan ke lima set. El Sherbini menang 12-10, 9-11, 11-5, 9-11 dan 11-9 dalam masa 48 minit.

Dalam bahagian lelaki, kibaran Jalur Gemilang terus dijulang apabila pemain pilihan 24 dunia, Ong Beng Hee melangkah ke peringkat suku akhir apabila lawan beliau, Matthew Karwalski dari Australia menarik diri akibat kecederaan.  Ong Beng Hee ketika itu mendahului apabila memenangi set pertama 11-8.

Manakala dalam perlawanan antara dua pemain Malaysia, kejutan berlaku apabila Mohd Azlan Iskandar  yang merupakan pemain no 10 dunia tewas kepada pemain di ranking 36 dunia, Mohd Nafiizwan Adnan 11-8, 7-11, 11-7, 3-11 dan 2-11. Nafiizwan yang berasal dari Terengganu akan berhadapan dengan Ong Beng Hee pada peringkat suku akhir yang dijadualkan esok.

Pemain pilihan pertama kejohanan, Karim Darwish dari Egypt pula tidak mempunyai masalah untuk melangkah ke peringkat suku akhir apabila mudah menewaskan Gregoire Marche dari Perancis dengan keputusan 11-2, 11-5, 11-9 dalam masa 40 minit.