Kejohanan Squash CIMB Nicol David Terbuka Kuala Lumpur 2012 masuk ke peringkat suku akhir semalam dengan Datuk Nicol Ann David terus menunjukkan kecemerlangan di gelanggang sendiri.

Datuk Nicol David dengan mudah mengenepikan cabaran dari pemain berusia 20 tahun dari India, Dipika Pallikal dengan keputusan 11-5, 11-2 dan 11-6. Dipika yang juga merupakan pemain keempat terbaik Asia gagal memberikan persembahan mantap sebagaimana yang dipertontonkan sewaktu menewaskan pemain pilihan ke 8 dunia, Kasey Brown semalam.

Dalam saingan suku akhir yang lain, pemain ke 5 dunia, Raneem El Weleily dari Egypt mengejutkan Madeline Perry dari Ireland dengan kemenangan tiga set iaitu 13-11, 11-6 dan 11-2 dalam masa 31 minit.

Kejutan terus berlaku dalam kejohanan edisi 2012 ini apabila pemain yang berusia 16 tahun dari Egypt, Nour El Sherbini mengalahkan pemain pilihan ke 6 dunia, Rachael Grinham dalam permainan 5 set. El Sherbini yang mengenepikan cabaran pemain no 2 dunia, Jenny Duncalf di pusingan pertama terus menunjukkan mutu permainan yang baik dengan memenangi peringkat suku akhir ini 12-10, 9-11, 11-5, 9-11 dan 11-9 dalam masa 48 minit. Beliau akan turun menentang pemain di ranking 10 dunia, Annie Au dari Hong Kong esok.

Bagi kategori lelaki pula, pemain pilihan pertama kejohanan  Karim Darwish tidak menghadapi masalah untuk mara ke peringkat separuh akhir apabila menewaskan Leo Au dari Hong Kong dengan keputusan 11-5, 11-3 dan 11-9. Lawan belaiu di peringkat separuh akhir adalah pemain di ranking 17 dunia, Adrian Grant dari England.

Adrian Grant terpaksa bekerja keras untuk menewaskan Max Lee dari Hong Kong. Beliau bangkit dari kekalahan dua set permulaan untuk mengenepikan cabaran pemain di ranking 37 dunia itu dengan keputusan 7-11, 9-11, 11-9, 11-4 dan 11-6.

Satu lagi perlawanan peringkat separuh akhir akan menemukan pemain tanah air, Ong Beng Hee dan Omar Mosaad.  Pengalaman Ong Beng Hee jelas menjadi sandaran kepada pemain yang berusia 32 tahun itu bagi menewaskan rakan senegara, Mohd Nafiizwan Adnan dalam permainan yang berlanjutan kepada 5 set. Ong Beng Hee muncul pemenang dengan keputusan 12-10, 11-13, 6-11, 11-7 dan 11-7 dalam masa 91 minit.

Omar Mosaad pula berjaya menewaskan pemain dari India, Saurav Ghosal. Omar Mosaad yang baru menjangkau usia 24 tahun pada 17 Mac yang lalu menewaskan Saurav dengan keputusan 11-7, 11-9, 4-11 dan 11-7.

Keputusan penuh kategori wanita peringkat suku akhir:

1.      Datuk Nicol Ann David (MAS) mng Dipika Pallikal (IND): 11-5, 11-2, 11-6

2.      Raneem El Weleily (EGY) mng Madeline Pery (IRL): 13-11, 11-6, 11-2

3.      Annie Au (HKG) mng Laura Massaro (ENG): 11-8, 7-11, 11-5, 5-11, 11-9

4.      Nour El Sherbini (EGY) mng Rachael Grinham: 11-8, 6-11, 11-9, 11-8

 

Keputusan penuh kategori lelaki peringkat suku akhir:

1.      Karim Darwish (EGY) mng Leo Au (HKG): 11-5,11-3, 11-9

2.      Adrian Grant (ENG) mng Max Lee  (HKG): 7-11, 9-11, 11-9, 11-4, 11-6

3.      Omar Mosaad (EGY) mng Saurav Ghosal (IND): 11-7, 11-9, 4-11, 11-7

4.      Ong Beng Hee (MAS) mng Mohd Nafiizwan Adnan (MAS): 12-10, 11-13, 6-11, 11-7, 11-7