wpid-dunia-sukan-image-for-website-story17-300x200.jpeg

Peminat Formula One (F1) boleh mendapatkan tiket Grand Prix (GP) F1 Petronas Malaysia 2013 akan datang di Stadium Nasional di Bukit Jalil hujung minggu ini sempena pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berkata SIC akan membuka kaunter tiket di Tempat Letak Kereta Zon A sebagai sokongan kepada karnival itu dan Tourism Malaysia.

“Kami berasa bangga dikaitkan dengan karnival ini terutamanya perlumbaan F1 dijadikan satu daripada acara utama bagi Tahun Melawat Malaysia 2014,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perlumbaan GP F1 Petronas Malaysia 2013 dijadualkan 22 hingga 24 Mac.  Razlan berkata SIC akan bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan rakan kongsinya yang lain dalam menjadikan acara itu sebagai aktiviti hiburan, pesta, membeli-belah dan perlumbaan permotoran gilang gemilang untuk peminat terutamanya pelawat antarabangsa.

“Kami mengalu-alukan pemegang Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M) dan Kad Maybank untuk membeli tiket mereka pada karnival tiga hari itu,” katanya.

Sebagai promoter dan penganjur perlumbaan itu, Razlan berkata SIC juga menawarkan “promosi Beli 1-Percuma 1′ kepada pemegang KADS1M.

“Setiap pemegang kad boleh membeli maksimum dua tiket. Promosi ini sah bagi tempat duduk Topaz, Citrine, Tower North dan Tower South. Apa yang perlu mereka lakukan ialah bawa bersama KADS1M dan kad pengenalan untuk menikmati promosi ini.

“Jika anda beli satu tiket, anda akan dapat satu tiket percuma. Ini merupakan peluang diberikan SIC kepada penuntut Malaysia,” katanya.

Meletakkan sasaran 90,000 penonton pada hari perlumbaan, beliau berkata SIC juga menawarkan diskaun 25 peratus bagi tiket dalam promosi istimewa dengan kerjasama Maybank sempena edisi ke-15 perlumbaan pada tahun ini.

Sah dari sekarang hingga 17 Mac dan terbuka kepada semua tempat duduk Main Grandstand, promosi istimewa itu ditawarkan kepada pemegang Maybank Visa dan kad kredit dan debit Mastercard, katanya.

“Butiran lengkap susunan program praperlumbaan tahun ini akan diumumkan pada pelancaran rasmi GP F1 Petronas Malaysia 2013 pada 29 Jan di Esplanade KLCC,” katanya. – BERNAMA.