Connect with:




DAIHATSU dan PERODUA ini secara rasmi mengumumkan untuk terus bekerjasama bagi menaja kejohanan PERODUA MALAYSIA MASTERS untuk tempoh dua tahun lagi.

PERODUA MALAYSIA MASTERS akan menjadi acara pertama di dalam kalendar HSBC World Tour Super 500. Kejohanan yang akan menawarkan wang tunai sebanyak USD 400,000 ini akan berlangsung pada 7-12 Januari 2020 dan akan memperlihatkan beberapa bintang-bintang dunia mempamerkan aksi memukau mereka di Axiata Arena, Kuala Lumpur.

DAIHATSU dan PERODUA akan terus komited bagi membantu arena badminton untuk melahirkan bakat-bakat baru di Malaysia serta berjanji untuk memberikan pengalaman yang menakjubkan buat para peminat yang hadir.

DAIHATSU, PERODUA serta Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berazam untuk menggunakan pendedahan dan sambutan daripada kejohanan badminton ini untuk pembangunan akar umbi. Kerjasama jangka panjang antara pihak DAIHATSU, PERODUA dan BAM juga akan terus memperkukuh ikatan dan cita-cita di antara pemain muda badminton di Malaysia dan sukan badminton.

“Perodua sememangnya menyokong sepenuhnua sukan badminton dan sebagai syarikat yang mengutamakan orang ramai, kami sentiasa membantu segala usaha melahirkan bakat-bakat baru di dalam bidang sukan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif PERODUA Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Dengan kejayaan penganjuran Program Pembangunan Bakat Badminton yang memasuki tahun kedua serta liputan berkelas dunia untuk PERODUA MALAYSIA MASTERS 2020 – sudah tentu akan menjadikannya lebih bermakna menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 – Saya yakin generasi muda akan mendapat inspirasi dan lebih bersemangat untuk menyerlahkan bakat mereka,” tambahnya.

Peminat bakal disajikan dengan aksi yang memukau daripada bintang beregu campuran negara iaitu gandingan Goh Liu Ying dan Chan Peng Soon malahan beberapa bintang muda badminton turut akan mempamerkan aksi mereka di hadapan penyokong tanah air.

“Kami amat gembira kerana beberapa pemain badminton dunia akan menyertai kejohanan PERODUA MALAYSIA MASTERS 2020. Ini sememangnya akan melonjakkan nama kejohanan serta menambah seri dalam pertandingan ini. Kami juga yakin penyertaan bintang-bintang badminton bertaraf dunia di dalam kejohanan ini akan menarik minat para peminat di seluruh dunia untuk turun ke Kuala Lumpur,” kata Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

“Dengan sokongan yang padu dari rakyat Malaysia, sudah pasti para pemain kebangsaan mampu untuk meraih podium pada tahun hadapan,” tambahnya.

Tiket kejohanan akan mula dijual dari 25 November bermula jam 12 tengah hari di laman web https://myticket.asia