Pasir Puteh Sentral bakal dihangatkan dengan deruman enjin jentera perlumbaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS apabila bakal menjadi venue pusingan ketujuh bagi musim 2017 pada 8 dan 9 September ini.

Pemilihan Pasir Puteh Sentral juga menyaksikan Kelantan sekali lagi berada dalam kalendar kejuaraan setelah Pasir Mas turut menjadi tuan rumah siri perlumbaan kebangsaan itu pada musim 2016.

“Kelantan merupakan antara lokasi pilihan untuk berada dalam kalendar kejuaraan Cub Prix. Sambutan dan sokongan daripada semua pihak sentiasa menggalakkan dan kita jangkakan sama seperti musim lepas di Pasir Mas, puluhan ribu pengunjung dijangka akan hadir bagi memeriahkan suasana perlumbaan,” jelas Shafry Azizan, Ketua Penyelaras Operasi Kejuaraan Cub Prix.

Tambahnya, “Bentuk litar ini juga dijangkakan akan memberi cabaran tertentu kepada pelumba dengan beberapa selekoh yang agak mencabar. Persaingan di litar baru sentiasa menarik dan terbuka buat pelumba-pelumba.”

Selepas enam pusingan, saingan kelas perdana CP150 dikuasai oleh Kasma Daniel Kasmayudin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan mengumpul 100 mata diikuti Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) di kedudukan kedua dengan 83 mata dan rakan sepasukan Kasma, Mohd Ramdan Rosli ketiga, 45 mata.

Saingan CP115 juga milik dua pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan Mohd Akid Aziz kekal di tangga teratas dengan 105 mata diikuti Mohd Haziq Fairues di tangga kedua dengan 76 mata. Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) di kedudukan ketiga dengan 67 mata.

Kelas Wira milik Mohd Aiman Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yama – Afb Tech) dengan 91 mata, Md Syafieq Aiman (Elf Koyoko KC Racing) kedua, 87 mata dan Saiful Azhary Muhamad (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) ketiga, 68 mata.