Connect with:




Kelab Ragbi COBRA, kelab ragbi tertua berdaftar di Malaysia telah mengumumkan penganjuran Kejohanan Ragbi Cobra 10 Sepasukan (COBRA 10s) Edisi Ke-49 yang akan berlangsung pada 9 dan 10 November bertempat di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.

Presiden COBRA, Lt Kol (Bersara) Tommy Pereira berkata, “Sejajar dengan objektif kami untuk mempromosikan sukan ragbi khususnya ragbi 10 sepasukan ini, kami dengan bangganya untuk menganjurkan COBRA 10s Edisi Ke-49 ini.

COBRA yang telah ditubuhkan pada 8 Jun 1967 ini pada awalnya hanya terdiri daripada pemain-pemain ragbi tempatan yang tidak mendapat tempat untuk bermain bersama mana-mana kelab sosial ketika itu. Kini di usia 52 tahun penubuhan; COBRA berkembang menjadi salah satu kuasa besar ragbi tanah air dan juga merupakan pelopor yang memperkenalkan format ragbi 10 sepasukan yang menjadi salah satu format permainan yang diiktiraf oleh World Rugby selaku badan induk dunia. Oleh yang sedemikian, penganjuran kejohanan tahunan ini sememangnya amat dinantikan oleh pasukan-pasukan tempatan mahupun dari luar negara.

Bagi memastikan sukan ragbi 10 sepasukan ini dipromosi secara berkesan khususnya di peringkat akar umbi, COBRA juga turut menganjurkan Kejohanan Mini 10s yang akan berlangsung pada 7 Disember 2019 bertempat di Institut Penyelidikan Getah (Rubber Research Institute), Sungai Buloh.

Selain objektif utama untuk mengumumkan penganjuran COBRA 10s Edisi Ke-49 pada sidang akhbar hari ini juga adalah untuk mengumumkan penaja utama bagi kejohanan ini.

Kejohanan yang menjadi penanda aras perkembangan sukan ragbi tanah air ini sekali lagi mengekalkan tradisi penganjuran untuk diadakan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada 9 dan 10 November 2019 nanti.

“12 pasukan termasuk 8 pasukan ternama luar negara telah mengesahkan untuk berentap dalam kejohanan ini. Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Indonesia merupakan negara yang akan memberi saingan. Malah turut bakal disertai beberapa pasukan baharu untuk berentap di pentas 10 sepasukan ini.

“Kami amat berterima kasih kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) kerana memberi peluang untuk penganjuran di stadium ini” ujar Tan Sri Krishnan Tan selaku Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran COBRA 10s.

Kejohanan 10 sepasukan ini akan mengguna pakai peraturan permainan seperti mana telah ditetapkan oleh badan induk World Rugby yang akan dikawal selia oleh Malaysia Rugby (MR).

Kelab Ragbi COBRA juga sekali lagi amat bertuah kerana sekali lagi berjaya mendapat penajaan korporat untuk menjadi tuan rumah kejohanan penuh berprestij pada tahun ini.

IJM Corporation Berhad yang sinonim dengan penganjuran tahunan Kejohanan COBRA 10s sejak lebih 20 tahun lalu dan kini masih terus memainkan peranan besar bagi memastikan penganjuran ini diteruskan dengan penuh prestij setiap tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Encik Liew Hau Seng berkata: “Kami amat berbangga untuk menjadikan penganjuran Kejohanan COBRA 10s ini dalam portfolio penajaan di mana pada masa yang sama turut mengekalkan pembangunan sukan di peringkat akar umbi. Sukan sememangnya tidak dapat dipisahkan daripada IJM yang sentiasa memberi sokongan sebagai tanggungjawab kepada komuniti khususnya memperjuangkan pembangunan sukan bukan teras termasuk ragbi di negara ini.

“Sebagaimana kami sentiasa turut memberi dorongan inisiatif kecergasan di kalangan pekerja, kami amat menggalakkan mereka untuk terlibat dalam aktiviti sukan bagi mencapai keseimbangan antara pekerjaan dan kehidupan.

“Dengan komitmen dan dedikasi COBRA dalam pembangunan sukan hingga ke peringkat hari ini, kami berharap agar dapat diteruskan ke peringkat yang lebih tinggi lagi dengan peningkatan penyertaan dari semua peringkat.”