COBRA 10s sekali lagi menerima tajaan HSBC

 

Di sebalik saingan yang dijangka sengit, Combined Old Boys Rugby Association atau lebih dikenali sebagai COBRA tidak gentar di dalam menetapkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke final Kejohanan Ragbi 10-Sebelah HSBC-COBRA yang akan berlangsung pada 10 dan 11 November depan di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya.

Kejohanan ini akan disertai 16 pasukan ternama antaranya pasukan Penguins dari United Kingdom, Impala dari Kenya serta 1 pasukan baru dari Perancis. Malaysia juga akan diwakili 4 buah pasukan iaitu COBRA, Borneo Eagles, ASAS dan juga NS Wanderers.

Pengurus pasukan COBRA, Boon Hoon Chee sudah mula mempersiapkan pasukan dengan menghantar pasukan menyertai 2 kejohanan antarabangsa iaitu Borneo Seven dan SCC Tournament bermula minggu hadapan.

COBRA juga bakal menggunakan kepakaran jurulatih luar iaitu 2 bekas lagenda New Zealand All Blacks; Duncan Robertson dan Jeff Matheson.

“Selain itu, kita juga akan memperkuatkan pasukan dengan membariskan gabungan beberapa pemain kebangsaan serta 6 atau 7 orang pemain luar.” jelas Hoon Chee yang jelas mahu menamatkan kemarau kejuaraan COBRA selepas kali terakhir menjuarainya pada 2008.

Sementara itu, COBRA sekali lagi menerima suntikan penajaan sebanyak RM 250,00.00 dari HSBC bagi penganjuran Kejohanan HSBC-COBRA Rugby 10s yang telah memasuki edisi ke 43 tahun ini.

Majlis penerimaan cek tersebut diberikan HSBC┬ámenerusi pengarah urusan, En. Roni Abdul Wahab dan disampaikan kepada pengarah kejohanan, Tan Sri Dato’ Krishnan Tan. Berucap dalam majlis tersebut, Krishnan nyata berbesar hati untuk menerima tajaan ini yang sedikit sebanyak membantu COBRA dalam menganjurkan kejohanan kali ini.

“Banyak cabaran dihadapi untuk penganjuran tahun ini namun terima kasih kepada semua penaja kami termasuk HSBC yang sentiasa membantu COBRA untuk terus memartabatkan sukan ragbi di Malaysia melalui penganjuran COBRA 10’s ini” kata Krishnan pada majlis tersebut.