Manchester City semakin hampir merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Stoke City, awal pagi td.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu tidak menghadapi banyak masalah untuk mencatat kemenangan ke atas Stoke, terima kasih kepada dua gol menakjubkan oleh David Silva dan menjarakkan jurang mata kepada 16 mata di puncak liga.

City hanya mengambil masa sembilan minit untuk membuka tirai jaringan menerusi rentak pantas dan kehebatan serangan balas selepas penyerang Gabriel Jesus turun sedikit ke bawah dan terbabit dalam gerakan gol.

Dia mengumpan kepada Raheem Sterling yang meluru di bahagian sayap kanan dan hantaran silang penyerang England itu menemui Silva yang mudah merembat masuk dari jarak 12 ela.

Sebaik Silva meraih gol kedua, bermula daripada serangan balas pertama pada babak kedua, sukar untuk melihat tuan rumah melakukan kebangkitan.

Usaha itu tetap menarik seperti gol pertama, selepas Fernandinho memenangi perebutan bola dan mengumpan kepada Silva yang bertukar hantaran sempurna dengan Jesus.

Silva menyudahkannya, melepasi jangkauan Jack Butland yang meluru keluar, melengkapkan persembahan yang mengagumkan memandangkan pemain Sepanyol itu akhir-akhir ini kerap pulang ke negaranya untuk menghabiskan masa dengan anak lelaki yang baru lahir.

Jaringan pada minit ke-50 itu menyaksikan keyakinan City makin memuncak, dengan rembatan Jesus terkena tepi jaring dan gelecekan menarik Sterling hampir menyebabkannya meletakkan bola ke dalam jaring sebelum ditampan Butland. – AFP