Connect with:




Manchester City dilihat “ghairah” meratah kelab divisyen tiga, Burton Albion selepas mencetak sembilan jaringan gol dalam perlawanan pertama separuh akhir Piala Carabao yang berlangsung di Stadium Etihad.

Babak pertama menyaksikan City yang mendahului 4-0 berterusan mempamerkan asakan tajam di babak kedua sebelum membelasah lima lagi jaringan gol untuk merekod kemenangan terbesar awal pagi tadi.

Dalam pada itu, pengendali Manchester City, Pep Guardiola meluahkan taktik anak buahnya yang menang besar itu kerana rasa hormat ke atas pihak lawan.

“Jika anda lupa untuk meneruskan (serangan) bermakna anda tidak menghormati lawan atau perlawanan ini,” kata Guardiola.

“ Kami berbincang ketika rehat. Dengan menjaringkan banyak gol, ianya adalah metod terbaik untuk menghargai perlawanan disamping menghormati lawan.

Juara bertahan Piala Liga itu sudah boleh membuat persediaan untuk final di Wembley bulan depan meskipun ada berbaki aksi timbal balik di Stadium Pirelli pada 23 Januari ini.

Mereka bakal berdepan sama ada Tottenham atau Chelsea di final, dengan Spurs mendahului 1-0 selepas penalti Harry Kane memberi mereka kemenangan pertama di Wembley pada Selasa lepas.

Sebagai rekod, ini adalah kali pertama dalam lebih daripada 31 tahun City melakukan jaringan lebih daripada lapan gol dalam perlawanan tunggal – mengalahkan Huddersfield Town 10-1 dalam pertemuan liga peringkat kedua pada November 1987.

Foto: Manchester City