Connect with:




Skuad kendalian Pep Guardiola, Manchester City mempamerkan aksi bertenaga selepas membenam cabaran Schalke 04 dari Jerman dalam aksi kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara awal pagi tadi dengan jaringan 7-0 untuk kemenangan agregat 10-2.

Kemenangan itu membawa City ke peringkat suku akhir mengiringi Manchester United dan Tottenham Hotspur yang telah mengesahkan tempat pada minggu lepas selepas menyingkirkan lawan masing-masing.

Walaubagaimanapun, City terpaksa menunggu pada minit ke-35 sebelum menjaringkan gol pertama menerusi sepakan penalti Sergio Aguero. Tiga minit berselang, Aguero sekali lagi memecah benteng pertahanan untuk jaringan kedua peribadi dalam perlawanan itu.

Leroy Sane menutup babak pertama dengan jaringan ketiga yang memberi kelebihan kepada tuan rumah, City.

Pada babak kedua, City menambah empat lagi gol masing-masing daripada Raheem Sterling, Bernardo Silva, Phil Foden dan Gabriel Jesus untuk menambah derita Schalke.

Kemenangan itu menyamai rekod kemenangan terbesar dalam peringkat kalah mati Liga Juara-Juara yang memberikan Schalke memori hitam yang sukar dilupakan.

City mara ke kelompok lapan pasukan terbaik untuk kali ketiga dalam tempoh empat tahun dan ia kali pertama sejak tahun 2011 yang menyaksikan sekurang-kurangnya tiga kelab Inggeris mara ke peringkat suku akhir.

City kini mempunyai peluang untuk menjuarai Liga Juara-Juara selepas kelab-kelab besar seperti Real Madrid dan Paris Saint Germain sudah tersingkir.

“Ia keputusan yang baik. Kami tidak bermula dengan baik, kami agak berhati-hati ketika beraksi. Namun selepas kedudukan 1-0, kami tenang dan mengambil keputusan untuk beraksi lebih baik dan agresif”, kata Guardiola.

Guardiola dalam masa yang sama menggesa keputusan VAR dipercepatkan. Dalam perlawanan pagi semalam, tiga gol City cetus kontroversi apabila dikatakan offsaid. Namun selepas menggunakan VAR, dua daripadanya disahkan gol.

Walaubagaimanapun, keputusan itu mencetus kemarahan segelintir peminat di Etihad yang terpaksa menunggu masa yang agak lama sebelum pengadil mengesahkan atau membatalkan jaringan berkenaan.

“Mereka perlu lebih pantas sedikit untuk membuat keputusan tetapi ia adil.

“Ada dua penalti yang tidak memihak kami berpunca daripada VAR di Jerman tetapi pada akhirnya ia adil. Pada akhirnya, ia adalah apa yang kami mahukan.

“Harapnya ini yang boleh berlaku dalam Liga Perdana Inggeris pada musim depan. Saya gembira dengan VAR. Harapnya ia boleh dipercepatkan (keputusan) berbanding pada hari ini”, kata Guardiola.

 

Foto : Manchester City