Connect with:




Penyerang Manchester City, Sergio Aguero meledak hatrik kedua dalam masa seminggu ketika juara bertahan itu meranapkan Chelsea dengan kemenangan  6-0 di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Kemenangan penuh bergaya itu membolehkan skuad kendalian Pep Guardiola merampas kembali takhta liga daripada Liverpool menerusi perbezaan jaringan dengan empat daripada enam gol yang dijaringkan di Etihad yang dicetak pada babak pertama.

Malah, kekalahan itu turut melakar rekod kekalahan terburuk Chelsea di gelanggang lawan sejak 1996 mengatasi kekalahan 0-6 kepada Bournemouth pada aksi terakhir mereka di tempat lawan sekali gus meningkatkan tekanan buat pengendali, Maurizio Sarri.

Bagi Pep Guardiola pula, dia meyifatkan kemenangan anak buahnya itu sebagai suatu perkara yang luar biasa yang dipamerkan dalam satu pasukan.

“Minggu yang luar biasa, permainan luar biasa,” katanya.

“Untuk menjaringkan enam gol melawan Chelsea dan cara kami bermain, kami mendapat banyak perhatian (terperinci). Kami melakukannya, ia merupakan pujian luar biasa kepada para pemain, mereka cemerlang, “tambahnya.

City kini menjaringkan 33 gol dalam lima perlawanan terakhir mereka dalam semua pertandingan dan berpeluang mengangkat trofi pertama mereka musim ini apabila mereka menghadapi Chelsea sekali lagi di Wembley pada final Piala Liga pada 24 Februari ini.

City dan Liverpool kedua-duanya mengutip 65 mata dengan City mempunyai kelebihan gol meskipun mereka mempunyai perbezaan satu perlawanan di depan.

Kedudukan ketiga pula disandang Tottenham Hotspur, yang mengalahkan Leicester City 3-1 pada awal pagi tadi.

Aguero, yang mencetak gol hatrik tujuh hari lalu menentang Arsenal, menyamai rekod Alan Shearer dari 11 pertandingan hatrik Liga Perdana dan kini menjadi berkongsi rekod sebagai penjaring terbanyak dalam liga musim ini bersama Mohamed Salah (Liverpool) dengan 17 gol.

Foto: Manchester City