Penalti menyebabkan Manchester City nyaris tersingkir daripada saingan Piala Liga di peringkat suku akhir di Stadium King Power, awal pagi tadi.

Manchester City sekadar mengatasi Leicester City menerusi penentuan penalti 4-3.

The Citizens tetap menunjukkan aksi cemerlang terutamanya menerusi bintang muda England, Phil Foden yang memiliki dua peluang terbaik untuk mencetak nama selaku penjaring.

Dalam aksi itu, skuad kendalian Guardiola terlebih dulu di depan tuan rumah menerusi sentuhan Bernardo Silva pada minit ke-26, sebelum Leicester bangkit di babak kedua dengan penyerang gantian, Jamie Vardy menyamakan kedudukan 1-1 di hujung saingan untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Bagaimanapun, kebangkitan dramatik tuan rumah itu gagal diteruskan dalam penentuan penalti apabila Vardy dan Riyad Mahrez gagal menyempurnakan tendangan sekali gus memberi kelebihan kepada pelawat untuk mara ke separuh akhir.

Dua lagi aksi suku akhir dijadualkan berlangsung awal pagi esok waktu Malaysia dengan Manchester United akan berkunjung ke Bristol City, sementara Chelsea bakal menanti kehadiran Bournemouth di Stamford Bridge.- AFP

Foto kredit : Twitter (@ManCity)