Connect with:




Walaupun telah menjulang sekali trofi Liga Juara-Juara ketika sebagai pemain dan dua kali sebagai jurulatih Barcelona, Pep Guardiola menganggap Manchester City masih remaja dalam kancah Liga Juara-Juara.

City masih pasukan remaja jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan lain seperti Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich dan Manchester United yang telah mempunyai banyak pengalaman di pentas Liga Juara-Juara.

City bangkit dari ketinggalan 1-2 sebelum menang 3-2 ke atas Schalke 04 hasil jaringan Sergio Aguero, Leroy Sane dan Raheem Sterling dalam aksi pertama peringkat 16 terakhir.

“Walaupun kita berjaya menang di tempat lawan, itu bukan petanda ia akan mudah di sini. Kita tahu Schalke mengalami masalah di Bundesliga tetapi itu bukan satu kelebihan kepada kami dan kami tetap harus waspada ancaman daripada mereka”, jelas Guardiola.

Guardiola enggan mendabik dada untuk melangkah ke peringkat yang seterusnya. Meskipun ada bekalan untuk melangkah ke suku akhir, namun Guardiola memberi amaran kepada anak buahnya betapa kecuaian akan membawa padah.

“Ia tempoh 90 minit yang menuntut kita bekerja keras dan masih banyak kerja yang perlu dilakukan”, katanya sambil mengambil contoh apa yang dilalui pasukan gergasi seperti Real Madrid dan Paris St Germain, yang masing-masing ditunjukkan jalan keluar oleh Ajax Amsterdam dan Manchester United yang mara hasil kemenangan di tempat lawan minggu lalu.

City diletakkan sebagai satu pasukan pilihan yang akan menjulang Liga Juara-Juara, namun Guardiola tidak pasti dengan skuadnya yang masih dianggap remaja dalam kempen tahun ini.

“Kami mengatur satu lagi langkah musim ini, tetapi perubahan memerlukan 20, 30 tahun,” katanya dalam sidang media praperlawanan semalam.

“Kami tidak menafikan, jika sudah sampai ke peringkat ini, kami sudah dianggap melakukan langkah ke depan, namun pada saya, dengan hanya satu kemenangan, ia belum cukup untuk dianggap sudah melakukan perubahan”, jelas Guardiola lagi.

Mereka tidak pernah memenangi Liga Juara-Juara tetapi City merupakan salah satu pasukan pilihan untuk muncul juara tahun ini.

“Kita tidak boleh menafikan kekuatan pasukan lain. Jika kami mempunyai impian, untuk mensasarkan sejauh mana yang mungkin dan pada masa sama terpaksa menerima pasukan lain juga mempunyai sasaran yang sama.

Tetapi Guardiola berkata: “City masih tidak bersedia untuk berjuang ke peringkat seterusnya dalam pertandingan ini tetapi percaya kelayakan untuk peringkat kalah mati adalah “kejayaan luar biasa” yang telah dilakukan oleh pasukannya.

“Semua kelab dalam peringkat kalah mati mahu memenangi kejuaraan ini. Ia sangat sukar”, kata Guardiola.

Meskipun mendahului carta di peringkat liga, Guardiola enggan terlalu meletakkan tekanan ke atas anak buahnya dalam memenangi kesemua perlawanan yang masih disertai oleh mereka.

FOTO : Sportskeeda