Connect with:




Belum ada pasukan mampu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris sejak Manchester United melakukannya pada tahun 2009 di bawah kendalian Sir Alex Ferguson. Namun, musim ini dilihat Manchester City mampu melakukan perkara yang sama iaitu mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang dimenangi mereka musim lalu.

Musim lalu City bergelar juara dengan kelebihan 19 mata di hadapan seteru utamanya, United. Kini, City berdepan satu ujian yang getir dalam misi pertahankan kejuaraan selepas berada di kedudukan kedua liga di belakang pencabar utama, Liverpool. Liverpool kini dua mata dihadapan City yang mempunyai kelebihan satu perlawanan.

City perlu memenangi kesemua enam perlawanan untuk bergelar juara, tetapi Liverpool perlu mengharapkan kegagalan City untuk meraih mata penuh dalam enam perlawanan yang dihadapi mereka di samping mengelakkan sebarang kesilapan dalam lima aksi terakhir mereka.

 

Magis Guardiola taruhan City

Pep Guardiola memang tidak asing lagi dalam dunia bola sepak. Guardiola berjaya membawa Barcelona memenangi tiga kejuaraan La Liga berturut-turut dari 2008 hingga 2011. Beliau juga berjaya membawa Bayern Munich memenangi kejuaraan Bundesliga tiga tahun berturut-turut pada tahun 2013 sehingga 2016. Kini magis Guardiola menjadi taruhan City untuk mempertahankan kejuaraan buat kali kedua berturut-turut.

Guardiola sememangnya terkenal dengan taktikal tiki-taka yang digunakannya sewaktu di Barcelona. Namun di City, Guardiola dilihat lebih mementingkan penguasaan bola daripada pemainnya. Jika dilihat dengan teliti corak permainan City, mereka akan bermula dari bahagian penjaga gol atau pertahanan. Mereka akan membuat hantaran pendek sehingga ke bahagian tengah. Pemain tengah akan memainkan peranan sama ada untuk membuat hantaran ke pemain sayap mahupun penyerang dalam usaha menjaringkan gol.

Jika mereka melihat agak sukar untuk menembusi bahagian pertahanan lawan, mereka akan memastikan penguasaan bola di bahagian tengah padang sehingga ada ruang untuk melakukan serangan. Namun, corak permainan ini sudah mula diikuti oleh banyak pasukan di Liga Perdana Inggeris.

 

City mempunyai pemain yang berkualiti

City dilihat mampu mempertahankan kejuaraan berdasarkan senarai pemain yang ada. Kebanyakan pemain City mampu bermain di banyak posisi dan mampu menampung kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain utama.

Di bahagian pertahanan tengah, City mempunyai Aymeric Laporte, John Stone, Vincent Kompany, Nicolas Otamendi. Namun Fernandinho juga mampu memainkan peranan sebagai pertahanan tengah. Di bahagian kiri dan kanan, Kyle Walker dan Benjamin Mendy pilihan utama Guardiola, namun turut di bantu oleh Danilo, Fabian Delph dan Oleksandr Zinchenko.

Bahagian tengah antara nadi penting City apabila gabungan dua perancang utama, David Silva dan Kevin de Bruyne sentiasa membuat hantaran dan percubaan yang baik. Mereka juga turut dibantu oleh Ilkay Gundogan dan pemain muda, Phil Foden. Raheem Sterling dan Leroy Sane antara pemain City yang sukar untuk dikawal oleh lawan. Skill dan larian pantas mereka berdua mampu memerangkap pertahanan lawan. Bernardo Silva dan Riyadh Mahrez juga tidak kurang hebatnya dengan hantaran silang selain percubaan yang mampu dilakukan dari sudut yang sukar.

Sergio Aguero dan Gabriel Jesus adalah tonggak penyerang buat City. Walaupun tidak digandingkan bersama, Aguero dilihat sebagai watak penting dalam pasukan. Jesus yang bermain sebagai pemain simpanan juga mampu menjaringkan gol. Aguero juga kini pendahulu penjaring terbanyak dengan 19 gol.

Barisan pemain berkualiti yang ada di City membolehkan Guardiola membuat rotation pemain berdasarkan taktikal pihak lawan.

 

Prestasi City konsisten dalam liga

Jika hendak dibandingkan dengan Liverpool, prestasi City dilihat lebih konsisten dengan 10 kemenangan berturut-turut dalam 10 aksi terakhir berbanding Liverpool yang hanya menang 6 kali dan seri 4 kali. Prestasi City di kejohanan lain juga nampaknya berada di tahap terbaik selepas berjaya mengekalkan kejuaraan Piala Carabao dan kini di final Piala FA Inggeris dan akan bertemu Watford pada 18 Mei.

Dalam Liga Juara-Juara, City dilihat sedikit tertekan apabila tewas tipis pada aksi suku akhir pertama kepada Tottenham Hotspur dengan jaringan 1-0 di tempat lawan. Walaupun tewas, City tetap dilihat pasukan pilihan untuk mara ke separuh akhir dan perlu bekerja keras di Etihad.

Bagi Liverpool, kemenangan 2-0 ke atas FC Porto di laman sendiri adalah satu motivasi kepada mereka untuk meneruskan rentak kemenangan dan memberi tekanan kepada City. Walaupun baki perlawanan Liverpool dilihat lebih mudah apabila akan bertemu Chelsea, berbanding City yang akan bertemu Spurs dan United, Liverpool perlu waspada ancaman dari Wolverhampton Wanderers yang berjaya menewaskan mereka di Piala FA Inggeris.

Empat kejuaraan dalam satu musim masih terbuka buat City namun jadual perlawanan yang padat dan faktor kecergasan mungkin akan menjadi penghalang. Namun itu hanyalah pandangan kita, dalam sukan bola sepak, apa-apapun boleh berlaku. Sama-samalah kita nantikan bagaimana kesudahan Liga Perdana Inggeris 18/19.

Foto : Manchester City