Connect with:




PFA telah mengumumkan Team of the Year 2019 untuk Liga Perdana Inggeris musim ini. Pemenang dipilih melalui undian daripada pemain di dalam liga itu sendiri. Dalam senarai yang dikeluarkan oleh PFA, pemain daripada Manchester City dan Liverpool mendominasi anugerah kali ini. Mari kita lihat senarai pemain yang berjaya memenangi anugerah PFA TOTY musim ini.

 

Penjaga Gol – Ederson Moraes (Manchester City)

Ederson berjaya menewaskan pesaing utama yang juga rakan senegaranya di Brazil, Allisson Becker daripada pasukan Liverpool yang telah mengutip 18 clean sheet. Ederson telah mempamerkan prestasi yang baik dalam saingan liga musim ini dan membuat 17 clean sheet untuk Manchester City. Ketenangannya di gawang City telah membantunya membuat hantaran yang baik kepada pemain-pemain City yang lain. Ederson juga telah melakukan satu assist musim ini.

 

Pertahanan Tengah – Virgil van Dijk (Liverpool)

Memang tidak boleh dipertikaikan lagi kenapa Virgil van Dijk tersenarai dalam TOTY. Kerja kerasnya sepanjang bersama Liverpool telah membuahkan hasil apabila gawang Liverpool hanya bolos sebanyak 20 kali musim ini dan paling sedikit antara pasukan yang lain. Watak van Dijk sebagai ketua di bahagian pertahanan tengah telah membantu pertahanan kanan dan kiri Liverpool mampu membuat larian overlap ke hadapan. Van dijk juga membantu Liverpool musim ini dengan beberapa jaringan melalui tandukan hasil sepakan percuma dan sudut.

 

Pertahanan Tengah – Aymeric Laporte (Manchester City)

Pemain pertahanan tengah Manchester City ini juga mempunyai mentaliti yang kuat di bahagian pertahanan tengah. Walaupun kadang kala membuat kesilapan, Laporte akan membaiki kesilapannya. Berada di hadapan Ederson, Laporte memainkan peranan penting untuk mengetuai barisan pertahanan yang dibantu oleh John Stone, Kyle Walker, Benjamin Mendy, Vincent Kompany, Nicolas Otamendi, Danilo, Oleksandr Zinchenko. Laporte telah menghasilkan dua gold an dua assist untuk City musim ini yang berbaki tiga perlawanan.

 

Pertahanan Kanan – Trent Alexander-Arnold (Liverpool)

Pemain muda yang berumur 21 tahun ini adalah pemain kegemaran pengendali Liverpool, Jurgen Klopp untuk mengisi posisi di pertahanan kanan. Ketenangan yang dimilikinya membuatkannya menjadi pilihan utama untuk mengisi posisi itu. Arnold sering membuat larian pantas di sisi sebelah kanan padang untuk membantu membuat hantaran kepada pemain penyerang. Arnold juga memiliki kelebihan dalam sepakan percuma. Kini Arnold menjadi pemain yang ditugaskan untuk mengambil sepakan sudut jika ketiadaan James Milner di atas padang. Walaupun Arnold hanya menjaringkan satu gol untuk Liverpool dalam saingan liga yang berbaki tiga perlawanan, Arnold telah melakukan 8 assist kepada pemain lain untuk menghasilkan gol buat Liverpool.

 

Pertahanan Kiri – Andrew Robertson (Liverpool)

Pemain yang dibeli daripada Hull City ini dilihat mempamerkan aksi yang bertenaga sepanjang bersama Liverpool. Larian pantas Robertson di sisi kiri padang dan melakukan hantaran yang baik kepada penyerang membolehkan mereka menjaringkan gol. Robertson seorang pemain yang mampu menandingi pertahanan lawan sebelum melakukan hantaran yang baik kepada rakan sepasukan. Namun, Robertson bukanlah seorang pemain yang gemar menjaringkan gol. Dia hanya akan menjadi pemain yang akan melakukan assist kepada rakan-rakannya. Robertson kini telah mengumpul 10 assist bersama Liverpool musim ini dalam saingan liga.

 

Tengah – Fernandinho (Manchester City)

Pemain berpengalaman ini telah membantu bahagian tengah Manchester City dalam keadaan yang baik sama ada masa bertahan atau menyerang. Walaupun bermain di posisi yang agak defensive, Fernandinho selesa dengan posisinya. Walaupun akhir-akhir ini, Fernandihno jarang diturunkan selepas mengalami kecederaan yang memaksanya berehat agak lama, prestasinya sebelum itu menjadi ukuran untuk dia ditempatkan dalam TOTY musim ini. Fernandinho berjaya membantu City dengan satu jaringan dan tiga assist walaupun bermain di bahagian defensive tengah.

 

Tengah – Paul Pogba (Manchester United)

Mungkin sesetengah penyokong bola sepak agak marah atau tidak puas hati dengan keputusan PFA yang menyenaraikan Pogba sebagai TOTY musim ini. Mungkin kerana prestasi pasukan Manchester United yang tidak konsisten musim ini. Para penyokong perlu tahu bahawa anugerah ini dipilih sendiri oleh pemain yang bermain di liga ini. Mungkin mereka merasakan Pogba layak kerana sifat kepimpinannya di atas padang semasa kendalian Ole Gunnar Solskjaer. Kebanyakan penyokong tidak bersetuju dengan keputusan Pogba kerana menyifatkan lebih ramai pemain yang mampu mengisi slot itu seperti Eden Hazard, Son Heung-Min dan Aaron Ramsey.

 

Tengah – Bernardo Silva (Manchester City)

Bernardo Silva adalah watak penting dalam pasukan Manchester City di bawah kendalian Pep Guardiola. Dia seorang pemain yang sangat rajin di atas padang dan sering melakukan asakan daripada pemain lawan untuk merampas bola. Silva juga seorang pemain yang sangat kreatif. Dia boleh bermain sebagai pemain sayap dan pemain tengah untuk City. Silva kini telah membantu City dengan tujuh jaringan dan lapan assist musim ini. Silva dikatakan lebih layak berbanding rakan sepasukannya, Kevin de Bruyne dan David Silva yang agak kurang menyerlah untuk musim ini.

 

Penyerang – Raheem Sterling (Manchester City)

Raheem Sterling antara pemain yang meningkat naik prestasinya bersama Manchester City. Sterling juga adalah pilihan utama untuk mengetuai barisan sayap City jika dibandingkan dengan Leroy Sane dan Riyadh Mahrez yang sering memanaskan bangku simpanan. Prestasi yang baik  daripada Sterling musim ini telah membantunya menjaringkan 17 gol dan melakukan 14 assist. Sterling juga berpeluang menjadi penjaring terbanyak liga jika mampu menghasilkan gol dalam baki tiga perlawanan.

 

Penyerang – Sadio Mane (Liverpool)

Sadio Mane musim ini telah menghasilkan 18 gol dan melakukan tiga assist bersama Liverpool. Mane adalah pemain yang rajin melakukan asakan kepada main lawan untuk merampas bola. Mane juga terkenal dengan larian pantas dan sering mendapat bantuan daripada rakan sepasukan, Roberto Firmino dan Mohamed Salah untuk mereka menghasilkan gol untuk Liverpool. Prestasi tidak konsisten Salah akhir-akhir ini menjadi faktor kenapa Mane lebih layak untuk dipilih sebagai TOTY musim ini.

 

Penyerang – Sergio Aguero (Manchester City)

Aguero adalah penyerang yang sentiasa menjadi nadi kepada Manchester City untuk menghasilkan jaringan. Aguero telah menghasilkan 19 jaringan musim ini dan berkongsi kedudukan teratas penjaring terbanyak musim ini bersama Mohamed Salah dan Pierre-Emerick Aubameyang. Selain menghasilkan gol, Aguero juga melakukan 11 assist kepada rakan sepasukan untuk menghasilkan jaringan untuk City. Aguero musim ini telah mencipta tiga kali hatrik. Itu adalah satu kelebihan buatnya untuk menewaskan calon-calon lain seperti Aubameyang, Harry Kane dan Marcus Rashford.

 

Manchester City mengungguli TOTY dengan enam pemain diikuti oleh Liverpool, lima pemain dan Manchester United seorang pemain. Kini giliran menunggu siapa pemain yang akan dinobtkan sebagai pemain PFA Best Player of the Year. Antara calon-calonnya adalah Raheem Sterling, Virgil van Dijk, Eden Hazard, Sadio Mane, Sergio Aguero dan Bernardo Silva. Pengumuman itu dijangka akan berlaku pada 28 April ini.

 

Foto : Sportskeeda