Connect with:




Skuad ragbi wanita 7 sebelah negara mencipta kejutan menewaskan pilihan utama, Filipina dalam aksi final trofi Asia Rugby Women Sevens Trophy di Brunei, semalam.

Malaysia pada mulanya bermula langkah kiri dalam kejohanan tersebut selepas tewas 12-17 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan sebelum bangkit membelasah Laos 22-0, Indonesia (29-0) dan Brunei (46-0) pada tiga perlawanan berikutnya.

Pada peringkat separuh akhir, Malaysia dipaksa bekerja keras sebelum menang tipis 5-0 ke atas Uzbekistan. Filipina pula menang ke atas Guam 10-7.

Dalam aksi final, try dari Nur Zieeyah Jery dan Nurul Azreen Azli sudah cukup untuk menghampakan harapan Filipina yang memberi cabaran cukup sengit sebelum tewas kepada pasukan negara dengan keputusan 10-7.

Ketua jurulatih negara, Nik Ismade dalam temubual kepada Asia Rugby memberitahu, dia terkejut dengan persembahan pasukan negara yang dibarisi sebahagian besar pemain-pemain baharu.

“Filipina satu pasukan yang kuat jadi saya sangat berbangga apabila anak-anak buah berjaya mengalahkan mereka pada aksi final.

“Hanya seorang sahaja pemain dari skuad KL2017 yang memenangi gangsa mewakili pasukan kali ini. Selebihnya adalah muka baharu yang dibentuk dari program Get Into Rugby.

Tambah Nik Ismade, kini para pemainnya sangat teruja untuk beraksi dengan pasukan-pasukan utama selepas layak ke kejohanan permier Asia Rugby Women’s Seven Series 2019.

“Saya akan berbincang dengan Malaysia Rugby emngenai masa depan pasukan dan juga program pembangunan ragbi wanita. Kita perlu membuat satu pelan menyeluru dan komprehensif untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Saya harap kami dapat menerima sokongan dari persatuan dan kerajaan”.