Connect with:




Ketua jurulatih futsal lelaki kebangsaan, Chiew Chun Yong telah menyenaraikan 18 pemain untuk membawa cabaran Malaysia pada Kejuaraan Futsal AFF 2019 di Ho Chi Minh City, Vietnam dari 21 hingga 27 Oktober 2019.

Chun Yong telah menggugurkan empat pemain iaitu Mohd Khairul Effendy Mohd Bahrin (Pahang), Firdaus Ambiah (Pahang), penjaga gol, Muhammad Syawal Sabaruddin (Perak) dan Muhammad Ekmal Shahrin (Melaka) daripada senarai 18 pemain yang menyertai kem latihan pusat fasa akhir sebelum ini.

Senarai akhir 14 pemain ini diumum selepas skuad futsal kebangsaan selesai mengadakan dua perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu New Caledonia di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam pada 14 Oktober 2019 (menang 5-0) dan 16 Oktober 2019 (menang 6-1).

Skuad futsal kebangsaan akan berlepas ke Ho Chi Minh City pada Sabtu ini (19 Oktober 2019) bagi menghadapi Kejuaraan Futsal AFF 2019 dengan aksi Kumpulan B bertemu Indonesia pada Isnin, 21 Oktober 2019 (4.00 petang VN | 5.00 petang MY), bertemu Australia pada Selasa, 22 Oktober 2019 (7.00 malam VN | 8.00 malam MY) dan bertemu tuan rumah, Vietnam pada Rabu, 23 Oktober 2019 (7.00 malam VN | 8.00 malam MY).

Jika Malaysia berjaya muncul dua pasukan teratas Kumpulan B, mereka akan layak ke perlawanan separuh akhir pada Jumaat, 25 Oktober 2019 bertemu pasukan dari Kumpulan A, sama ada juara bertahan Thailand, Myanmar, Timor-Leste atau Kemboja. Aksi final dan perlawanan penentuan tempat ketiga dijadual pada Ahad, 27 Oktober 2019.

Kejuaraan Futsal AFF 2019 ini turut menjadi saingan kelayakan ke Kejuaraan Futsal AFC 2020 yang mana tiga pasukan terbaik akan menjadi wakil Zon ASEAN ke pusingan akhir tersebut yang dijadual berlangsung di Turkmenistan dari 27 Februari hingga 8 Mac 2020.

Malaysia sebelum ini telah muncul naib juara, dua kali berturut-turut pada Kejuaraan Futsal AFF 2017 dan 2018 selepas tewas kepada Thailand pada aksi final kedua-dua edisi berkenaan yang berlangsung di Ho Chi Minh City (2017) dan Yogyakarta, Indonesia (2018).