Connect with:




Motto “HardworkBeatsTalent” yang menjadi pegangan Christopher Raj, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perhubungan awam sukan tempatan dan antarabangsa, ShekhinahPR Sdn Bhd sekali lagi menghadirkan sebuah kejayaan bermakna kepada beliau.

Berlangsung di Hotel Hilton semalam, Christopher Raj telah dinobatkan sebagai “Emerging Entrepreneur Of The Year” daripada Global Leadership Awards (GLA) 2018 dalam satu majlis penuh berprestij di hotel itu.

GLA 2018 edisi kelapan yang dianjurkan oleh majalah perniagaan berprofil tinggi, The Leaders International adalah satu anugerah untuk memberikan penghormatan kepada pemimpin-pemimpin berkarisma serta berjaya dari pelbagai latar belakang karier seperti perniagaan, sektor diplomatik, sosial, kepimpinan kerajaan, selebriti dan sebagainya.

Selain itu, GLA 2018 juga merupakan satu majlis penganugerahan yang mendapat pengiktirafan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kepimpinan di Amerika Syarikat iaitu Persatuan Pembangunan Kepimpinan Amerika (ALDA).

Kesemua 30 anugerah yang ditawarkan secara keseluruhan oleh GLA 2018 adalah dinilai oleh juri-juri terkemuka seperti Arthur Carmazzi, He Abdul Rahim Hassan Naqi, Steve Cheah dan Proseffor M. S. Rao.

Antara penerima lain yang berjaya menggondol anugerah semalam adalah Datuk Kamarudin Meranun (AirAsia Berhad)- Lifetime Achievement, Dato’ Hussamuddin Yaacob (Karangkraf)- Lifetime Achievement, Tan Sri Dato’ Sri Lim Hock San (LBS Bina Group Berhad)- Lifetime Achievement, dan pengasas Universiti Lim Kok Wing, Tan Sri Dato’ Seri Paduka Dr. Lim Kok Wing (Leadership Of Innovation and Globalization in Education & National Unity and Philantrophy).

Datuk Azis Jamman, Timbalan Menteri Dalam Negeri hadir selaku tetamu kehormat untuk menyampaikan trofi kepada para pemenang. Tetamu kehormat lain yang turut bersama dalam majlis penuh gemilang semalam adalah Shahul Hameed Shaik Dawood selaku Pengerusi GLA 2018, dan Arthur Carmazzi dari ALDA.