Lee Chong Wei

Datuk Lee Chong Wei

 

Riak wajah jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang tenang jelas menunjukkan betapa dirinya sudah bersedia untuk mempertahankan gelaran Terbuka Malaysia yang dimenangi tahun lalu.

Chong Wei yang masih segar dengan kejayaan merangkul Terbuka Korea minggu lalu walaubagaimanapun tidak mahu terlampau yakin dalam memburu gelaran ke-6 berturut-turutnya dalam kejohanan ini.

“Saya masih perlu dapatkan persembahan sebenar saya. Kali ini juga saya mahu lebih enjoy dan berharap tekanan yang diberikan tidak menggangu permainan saya nanti” katanya yang ditemui pemberita di Stadium Putra Bukit Jalil.

“Terbuka Malaysia antara kejohanan pilihan saya. Bermain di negara sendiri dan dihadapan peminat sendiri menjadikan kejohanan ini istimewa buat diri saya” katanya lagi.

Chong Wei turut mengulas mengenai tindakan Misbun Ramdan Misbun yang keluar dari Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk berlatih dibawah bapanya sendiri, Misbun Sidek yang juga pernah menjadi jurulatih buat Chong Wei.

“Kita kena hormati keputusan dia (Misbun Ramdan). Mungkin ini lebih baik buat dirinya jika dilatih oleh bapanya sendiri. Apa yang lebih penting prestasinya meningkat terutamanya ketika beraksi untuk Malaysia” tambah pemain nombor 1 dunia itu.

Chong Wei akan memulakan kempennya di Terbuka Malaysia pada esok hari menentang bekas juara dunia remaja dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan pertama kejohanan.