Connect with:




Baru-baru ini, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terpalit dengan kontroversi hangat apabila beregu negara yang memenangi pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem Tan Wee Kiong bakal meninggalkan badan induk berkenaan berkuatkuasa Sabtu ini.

Selain V Shem-Wee Kiong, BAM juga kehilangan beberapa pemain senior lain seperti gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Namun, bagi bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, dia tetap teguh berdiri di belakang BAM dan menegaskan tidak akan meninggalkan persatuan berkenaan.

“Jika saya bersara, saya akan bersara sebagai pemain Badminton Malaysia (BAM). Saya tidak akan pergi dan sentiasa berada di sini.

“Tiada BAM, tiada Lee Chong Wei. Saya telah berada di sini (di BAM) selama 19 tahun dan hampir separuh hidup saya. Sekarang, saya OK di sini, “katanya.

Hero badminton kebangsaan itu turut menyuarakan dia selesa berada di kem BAM dan baginya, dia lebih banyak berhutang budi kepada BAM yang mencungkil bakatnya hingga berada di tahap yang sepatutnya.

Pada masa yang sama, Chong Wei yang akan memulakan latihan di BAM pada hari Isnin selepas pulih dari kanser hidung, berharap bekas rakan sepasukannya akan mempamerkan prestasi yang cemerlang.

“Perkara yang paling penting ialah mereka perlu mengekalkan prestasi mereka yang baik. Keputusan untuk meninggalkan BAM mungkin langkah terbaik untuk mereka dan tekanan akan berkurang untuk mereka.

“Saya tidak mampu membuat keputusan seperti itu. Saya bukan muda dan saya mempunyai sasaran untuk menjadi yang terbaik pada Olimpik 2020.

Mengulas lanjut tentang pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio V Shem-Wee Kiong yang keluar dari BAM, Chong Wei berpendapat perkara berkenaan sensitif untuk diperkatakan.

“Bagi saya semua orang perlu memahami apa yang mereka mahu. Ini adalah isu sensitif dan saya bersikap terbuka jika mereka ingin meninggalkan BAM tetapi yang penting adalah mereka masih mewakili negara.

“Mereka perlu membuktikan diri mereka sebagai pemain professional yang mampu meningkatkan prestasi ketika bermain,”¬† katanya

Foto: AFP