Lin Dan muncul juara aksi perseorangan dalam Kejohanan Badminton Yonex ALL England yang berlangsung di National Indoor Arena, Birmingham, apabila perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei terpaksa menarik diri di set kedua setalah mengalami sakit pada bahu kanannya.

Memenangi kejuaraan kelima dalam kariernya dengan agak mudah mungkin sedikit mengecewakan Lin Dan, namun Chong Wei pasti tidak mahu mengambil risiko untuk terus beraksi dalam kesakitan dengan terpaksa berundur di set kedua setelah ketinggalan 2-6.

Dalam set pertama, Chong Wei dilihat kurang agresif namun bangkit memberikan saingan sengit setelah ketinggalan. Walaubagaimanapun, Chong Wei terpaksa akur apabila tumpas 19-21 dalam aksi yang berlangsung selama 24 minit itu. Kecederaan bahu memaksanya dirawat dua kali di tepi gelanggang.

Dengan kekalahan ini, Chong Wei gagal mempertahankan kejuaraan ini setelah menang pada tahun 2010 dan 2011 serta gagal menyamai rekod lagenda badminton negara, Wong Peng Soon yang telah melakukan hatrik dalam kejuaraan ini dari tahun 1950 sehingga 1952.

Sementara itu, aksi paling menarik adalah perlawanan beregu lelaki yang menyaksikan pilihan utama yang juga beregu nombor satu dunia, Cai Yun-Fu Haifeng ditumbangkan Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dalam aksi yang berlanjutan sehingga ke rubber set.

Keputusan lain:

Perseorangan Wanita: Li Xuerui menang Wang Yi Han (21-13, 21-19)

Beregu Campuran: Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir menang Thomas Laybourn-Kamilla Rytter Juhl (21-17, 21-19)

Beregu Wanita: Tian Qing-Zhao Yunlie menang Wang Xiaoli-Yu Yang (21-17, 21-12)

Beregu Lelaki: Jung Jae Sung-Lee Yong Dae menang Cai Yun-Fu Haifeng (21-23, 21-9, 21-14)