Connect with:




Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan & Latihan (C&T) Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Ng Chin Chai memaklumkan jaguh perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei bakal kembali ke gelanggang bagi memulakan sesi latihan dalam tempoh dua minggu lagi.

Menurutnya, Chong Wei telah memberitahu jurulatih perseorangan lelaki negara, Hendrawan sewaktu pertemuan mereka semalam bahawa dirinya telah bersedia untuk kembali ke gelanggang bagi memulakan sesi latihan.

“Kita bagi Chong Wei berehat dulu, buat masa sekarang dia masih belum bersedia tapi dalam tempoh dua minggu lagi mungkin beliau akan kembali,” kata Chin Chai selepas Majlis Penyerahan Bas Tajaan Bank Rakyat hari ini.

Chong Wei disahkan mengidap kanser hidung peringkat awal pada 22 September lalu oleh BAM sendiri. Chong Wei yang sebelum ini menjalani rawatan di Taiwan telah pulang ke tanah air pada 7 Oktober lalu sebelum kembali menyambung rawatan.

Pada masa yang sama, Presiden BAM, Datuk Seri Norza Mohamad Norza Zakaria memberitahu bahawa beliau ada berbicara dengan Chong Wei dalam dua atau tiga hari lalu untuk bertanyakan khabar.

“Dia memberitahu semua berada dalam keadaan baik dan sekarang ini sedang melakukan  latihan fizikal dan beliau mengakui ada menjenguk pemain lain melakukan latihan.

“Setakat ini, itu saja perkembangan mengenai beliau buat masa sekarang. Biar proses pemulihan diteruskan seperti nasihat doktor. Jika dinilai melalui kekuatan, saya yakin dia bersedia menjelang kelayakan Sukan Olimpik 2020 nanti,” jelas Norza.

Pada masa yang sama, kejayaan seorang lagi pemain perseorangan lelaki, Lee Zii Jia mara ke saingan akhir Korea Masters hujung minggu lalu turut mendapat perhatian Norza yang berpuas hati dengan pencapaian pemain itu.

“Seperti kita sedia maklum kelayakan Olimpik akan bermula 1 Mei depan, jadi kita mahu memupnyai dua atau tiga wakil bagi setiap bahagian. Zii Jia akan bersama Chong Wei dan seorang lagi pemain masih dalam penilaian untuk mengisi slot perseorangan lelaki.

“Saya ada berbicara dengan Misbun (Datuk Misbun Sidek) mengenai reviu selepas Korea Masters dan nyata masih ada jurang di antara Zii Jia dan Son Wan Ho. Kita harus melihat hal ini dari sudut teknikal namun pendapat saya mengatakan kita kini di landasan yang tepat untuk ke Olimpik Tokyo,” jelasnya.

 

Foto : Facebook Lee Chong Wei

Sumber : Bernama