SHAH ALAM – Datuk Lee Chong Wei memerlukan kembali khidmat Datuk Misbun Sidek sebagai jurulatih peribadinya dalam beberapa tempoh yang terdekat ini.

Selepas enam tahun Misbun meninggalkan Persatuan Badminton (BAM), kemungkinan besar dia akan kembali dalam arena badminton bagi melatih Lee Chong Wei dalam acara yang dipertandingkan.

Menurut sumber, kemungkinan besar Misbun bakal menerima tawaran tersebut ekoran ia merupakan permintaan daripada bekas anak didiknya sendiri.

“Benar kemungkinan besar Misbun akan kembali semula. Chong Wei mahukan khidmatnya kembali sebagai jurulatih peribadi hinggalah dia bersara kelak.

“Bermakna mungkin ada tempoh dua atau tiga tahun lagi untuk Misbun melatihnya. Jika persetujuan dapat dicapai, Misbun akan melatihnya sehingga ke Kejohanan Dunia nanti,” katanya.

Manakala Presiden BAM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria enggan memberikan komen lanjut mengenai perkara tersebut dan hanya megumumkannya pada mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) esok.

Khabar angin mulai timbul apabila Chong Wei sering kali dilihat berjumpa dengan Misbun di kediaman lagenda badminton negara itu dan yang terbaru kelmarin.

Misbun merupakan individu yang bertanggungjawab dalam mengasah bakat Chong Wei sehingga dapat menyaksikan pemain nombor satu dunia itu melakar pelbagai kejayaan di persada antarabangsa.