KUALA LUMPUR – Pilihan utama Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan apabila melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini.

Datuk Lee Chong Wei terlalu unggul buat pemain muda Malaysia Liew Darren apabila mudah menyingkirkan pemain muda itu 21-8, 21-11 dalam masa 31 minit.

Chong Wei yang merupakan juara 7 kali kejohanan menjadikan perlawanan ini sebagai pemanas badan sebelum bermain dengan lawan yang lebih handal pada pusingan seterusnya.  Chong Wei dijadualkan akan bertemu pemain Jepun, Kazushi Yamada, sebelum dijangka akan bertemu Taufik Hidayat di pusingan ketiga

Sementara itu, beregu wanita negara, Vivian Hoo Kah Mun-Woon Khe Wei berjaya mengejutkan pasangan No. 5 dunia, Miyuki Maeda-Satoko Suetsuna pada aksi pertama Siri Super Terbuka Malaysia di Stadium Putra Bukit Jalil.

Pasangan muda yang berada di ranking ke 21 dunia itu, mendapat sorakan padu peminat yang hadir di Stadium Putra Bukit Jalil apabila berjaya bangkit selepas ketinggalan 15-21 di set pertama, untuk memenangi perlawananan 15-21, 21-19, 21-17 dalam tempoh 79 minit.

Ketika ditemuabual selepas tamat perlawanan, Vivian berkata sorakan daripada peminat sepanjang perlawanan banyak membantu kemenangan mereka.

Pasangan beregu utama negara, Koo Kien Keat dan Tan Boon Heong pula berjaya melepasi halangan pertama kejohanan badminton Siri Super Terbuka Malaysia dengan kemenangan straight set keatas Rupesh Kumar-Sanave Thomas.

Kien Keat-Boon Heong mempamerkan aksi meyakinkan untuk membenam pasangan dari India itu 21-14, 21-13 di Stadium Putra Bukit Jalil.

Nasib malang menimpa perseorangan lelaki kedua negara, Muhammad Hafiz Hashim apabika terkandas di pusingan pertama kejohanan badminton Siri Super Terbuka Malaysia selepas tewas kepada Dionysius Hayom Rumbaka dari Indonesia.

Pada set pertama Hafiz ternyata garang apabila dengan mudah menewaskan Dionysius dengan 21-17, bagaimanapun Hafiz keletihan dan tenggelam dengan ketangkasan lawan pada set kedua apabila tewas 12-21.

Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Hafiz pada set ketiga membenarkan Dionysius mara meninggalkannya sehingga 19-11, sekaligus memenangi set tersebut dengan 21-11.

Hafiz yang ditemui selepas tamat perlawanan berkata, dia tidak beraksi baik pada hari ini sekaligus memberi peluang kepada Dionysius yang turut banyak melakukan serangan.

Hafiz turut menjelaskan,  dia memiliki peluang yang baik untuk menyertai skuad negara dalam Piala Thomas Mei ini, namun berdasarkan keputusan hari ini ia mungkin sebaliknya akan berlaku.