Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia Maybank 2012 melabuhkan tirainya di Stadium Putra, Bukit Jalil sebentar tadi dengan Datuk Lee Chong Wei merangkul kejuaraan Perseorangan Lelaki untuk kali kelapan buat dirinya dalam kejohanan ini, menyamai rekod yang pernah dilakar lagenda badminton negara, Wong Peng Soon sebelum ini.

Chong Wei, pemain ranking nombor satu dunia mudah mengenepi cabaran perseorangan muda Jepun, Kenichi Tago hanya dalam tempoh 36 minit. Chong Wei sebelum ini muncul juara kejohanan ini pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010 dan 2011.

Chong Wei layak ke pentas final setelah menewaskan Chen Long dari China dalam tiga set, 21-18, 17-21 dan 21-13, manakala Kenichi Tago pula layak ‘mudah’ apabila Chen Jin terpaksa menarik diri akibat kecederaan buku lali di peringkat separuh akhir semalam.

Set pertama, Chong Wei mudah menewaskan pemain ranking ke-13 dunia itu 21-6. Set kedua terus menyaksikan Kenichi Tago gagal mengatasi kemampuan pilihan utama ini seterusnya tewas 13-21. Dengan kemenangan ini, Chong Wei turut membawa pulang USD 30 ribu bersamanya dan mungkin boleh dianggap sebagai hadiah Tahun Baru Cina buatnya.

Acara final Beregu Lelaki pula menemukan dua pasangan bukan pilihan iaitu Cho Gun Woo-Shin Baek Choel (Korea Selatan) dan Fang Chieh Min-Lee Sheng Mu (Taiwan). Pasangan Gun Woo-Baek Choel yang berada di ranking keempat dunia menang set pertama 21-16 ke atas pasangan Chieh Min-Sheng Mu, ranking ke-13 dunia.

Namun, set kedua menyaksikan kebangkitan beregu Taiwan apabila menang 21-16 dan mengheret perlawanan ke set penentuan. Seakan-akan mengulangi skrip aksi final Terbuka Korea minggu lalu, pasangan Chieh Min-Sheng Mu menumbangkan pasangan muda Korea itu sekali lagi dalam set penentuan 21-16 dalam aksi yang berlangsung selama 50 minit.

Sementara itu, final Perseorangan Wanita mempertemukan dua ‘Wang’ dari China iaitu Wang Yihan dan Wang Xin. Wang Yihan selaku pilihan utama berjaya menewaskan pilihan kedua, Wang Xin, 21-19 dan 21-11 dalam masa 31 minit sekaligus merangkul kejuaraan Perseorangan Wanita Siri Super Terbuka Malaysia yang pertama buat dirinya.

Final Beregu Wanita pula menyaksikan pasangan Denmark, Christinna Pederson-Kamilla Rytter Juhl turun menentang pasangan ranking ketiga dunia dari Korea, Ha Jung Eun-Kim Min Jung. Christinna-Kamilla, ranking ke-10 dunia menewaskan pasangan Korea 21-19 dan 21-18 dalam tempoh 38 minit seterusnya merangkul kejuaraan Beregu Wanita.

Kejuaraan Beregu Campuran pula milik pasangan China yang juga pilihan utama kejohanan, Zhao Yunlie-Zhang Nang dalam masa tidak sampai setengah jam. Pasangan Zhao Yunlie-Zhang Nang menewaskan satu lagi pasangan China, Xu Chen-Ma Jin dalam aksi dua set, 21-12 dan 21-9.